Sertai Team Pemuda UMNO, Fasa 2 Pembersihan Pasca Banjir Lebih Mencabar

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO mengakui bahawa pembersihan pasca banjir yang dianggap fasa kedua adalah lebih mencabar khususnya bagi mangsa-mangsa banjir dan sukarelawan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kebanyakan tempat air banjir sudah surut dan ramai sudah pulang ke rumah masing-masing iaitu jika rumah masih selamat.

“Kini sudah masuk Fasa Pembersihan. Fasa yang lebih mencabar terutamanya kawasan yang dilanda banjir selut. Dalam fasa ini, bantuan dari segi peralatan pembersihan termasuk mop, water jet, penyapu lidi, sabun dan lain-lain amat besar maknanya,” kata beliau menerusi laman facebooknya.

Terdahulu beliau memaklumkan secara umumnya dalam menangani musibah banjir, terbahagi kepada 3 fasa utama:
1. FASA PERTAMA – Fasa Menyelamat
2. FASA KEDUA – Fasa Pembersihan
3. FASA KETIGA – Fasa Pemulihan

Sehubungan itu ujarnya, sesiapa yang mahu menyumbang/menginfaqkan tenaga bagi membantu bersih dan mencuci juga adalah amat dialu-alukan malah besar pahalanya.

“Insya-Allah Skuad Sabil dan Sukarelawan Pemuda UMNO telah mula diselaraskan dan digerakkan untuk turun seramai mungkin bagi membantu proses pembersihan di lokasi-lokasi banjir yang teruk terjejas.”

Berikutan itu, beliau memaklumkan kepada sesiapa yang ingin menyertai Team Sabil dan Team Pemuda UMNO sebagai sukarelawan amat dialu-alukan.

Boleh menghubungi:
Saudara Kamil Pejabat Pemuda UMNO 019-3087680
Saudara Razi Penyelaras Skuad Sabil Kebangsaan 014-2234738. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.