Ayuh Terus Berdoa Agar Musibah Berakhir – Zahid

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hami mengajak rakyat untuk terus berdoa agar musibah segera berakhir dan tiada mudarat yang lebih teruk daripadanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian dalam hantaran menerusi laman facebooknya berikutan bencana banjir yang melanda negara khususnya sekitar Lembah Klang dan Selangor serta beberapa negeri yang lain.

Dalam kesempatan tersebut, Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan kepada mereka yang menjadi mangsa banjir.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang masih terus membantu mangsa-mangsa banjir.

“Begitu juga para sukarelawan turun padang dalam kumpulan kecil mahupun dalam kumpulan yang lebih besar.

“Badan bukan kerajaan (NGO), anggota komuniti dan masyarakat yang saling bergandingan bahu.
Rakyat Malaysia sedang memperlihatkan sebuah gerakan kemanusiaan yang hebat ketika ini,” katanya.

Menggunakan segala sumber yang ada bagi misi yang satu iaitu menyelamat dan menolong mangsa banjir.

Ujar beliau lagi, sebuah kemuafakatan tanpa mengira kaum dan agama bukti perpaduan rakyat Malaysia.

“Ya Allah lindungilah para sukarelawan, permudahkanlah urusan mereka membantu insan dalam kesusahan.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.