Zahid Ucap Tahniah Pada GPS, Menang Besar PRN Sarawak

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) di atas kejayaan besar menguasai 76 DUN dari 82 yang dipertandingkan dalam PRN Sarawak ke-12 iaitu peningkatan sebanyak 4 kerusi dari 72 kerusi yang dimenangi semasa PRN ke-11.

Katanya, selepas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam PRN Melaka, kini giliran GPS menang besar dalam PRN Sarawak.

“Tahniah GPS di atas kejayaan tersebut. Laporan awal media menyebut GPS telah menang 75 kerusi.

“Kestabilan menjamin kemakmuran rakyat. Semoga kemenangan ini memberikan semangat agar terus memajukan Sarawak.

“Semangat setia kawan antara BN dan GPS berkekalan demi jaminan masa depan rakyat makmur dan sejahtera,” katanya lagi yang juga Pengerusi BN merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Ujarnya dalam kenyataan media berlainan kemudiannya, penguasaan besar GPS ini adalah manifestasi rakyat yang mahukan kerajaan yang dipimpin oleh parti politik yang berpengalaman serta terbukti dalam mentadbir dan menguruskan kebajikan rakyat.

“GPS dengan manifesto Demi Kestabilan, Kemakmuran dan Kegemilangan Sarawak selaras Manifesto Barisan Nasional di Melaka iaitu Kestabilan Demi Kemakmuran telah terbukti diterima rakyat.

“Kestabilan politik adalah titik noktah kepada polemik politik yang berlaku dalam negara. Kemajuan negara akan lebih pesat jika politik stabil dan membawa kepada kemakmuran hidup. Kerajaan rapuh pasti sukar menyusun perancangan untuk rakyat.

“Sudah sampai masanya kita mendapat kerajaan yang stabil di peringkat Parlimen dengan mandat rakyat yang baharu. Dengan mandat baharu ini kita berganding bahu bersama mengembalikan Malaysia ke era yang gemilang. Hanya kerajaan yang stabil mampu memakmurkan negara dan membela kepentingan rakyat.”

Semalm (GPS) memenangi 75 kerusi dalam PRN, sekali gus membaiki pencapaian mereka dalam PRN ke-11 pada 2016.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya mengumumkan keputusan bagi 81 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), apabila keputusan DUN Mulu tidak dapat diumumkan malam tadi disebabkan peti undi di kawasan itu tidak dapat dibawa keluar kerana keadaan cuaca buruk, dan mengambil kira faktor keselamatan petugas pilihan raya kawasan berkenaan. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.