Susah Senang Jentera UMNO/BN Tetap Berkhidmat Kepada Rakyat – Zahid

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan bahawa dalam keadaan susah mahupun senang jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) tetap berkhidmat kepada rakyat di setiap masa, tempat dan keadaan.

Sesungguhnya tegas beliau yang juga Pengerusi BN, ia adalah sebuah pengorbanan yang murni oleh semua menolong rakyat berdepan bencana yang sangat dasyat ini.

“Terima kasih seluruh jentera UMNO/BN yang sedang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir di seluruh negara.

“Pimpinan UMNO/BN di setiap peringkat haruslah mengenal pasti bantuan yang diperlukan penduduk di kawasan masing-masing pasca banjir.

“Bantulah mengikut kapasiti yang terbaik dan jika perlu laporkan segera kepada jentera atau agensi kerajaan berkaitan,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya.

Ujarnya, usahakan sehabis baik agar permasalahan dihadapi mangsa dapat ditangani secepat mungkin berdasarkan sumber yang ada.

“Insya-Allah segala penat lelah dan jerit perih para jentera UMNO/BN menghulurkan segenap bantuan akan memperoleh balasan yang baik.

“Bagaimanapun haruslah beringat untuk sentiasa menjaga keselamatan diri pada setiap masa.

“Kita terus berdoa agar musibah banjir ini segera berakhir dan rakyat yang terjejas dapat kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.