Banjir: Keutamaan Kerajaan Selamatkan Nyawa Rakyat – PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Keutamaan kerajaan kini ialah memindahkan mangsa banjir yang terperangkap demi menyelamatkan nyawa mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismai Sabri Yaakob.

Beliau berkata selain itu kerajaan juga akan memastikan bekalan makanan disediakan untuk mangsa-mangsa banjir terutama di sekitar Lembah Klang, yang paling teruk terjejas dalam bencana banjir kali ini.

“Kita tidak boleh tunggu lagi, (bantuan lain) akan bincang kemudian, yang penting sekarang selamatkan mangsa, yang terperangkap pindahkan dahulu ke tempat selamat. Kewangan, bantuan lain kita boleh uruskan kemudian.

Untuk makanan kita tahu bila pindah tiada makanan, Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) telah kerjasama dengan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan agensi lain akan hantar makanan,” katanya pada sidang media khas di Pusat Kawalan Operasi Bencana Negara (Smart) di sini malam ini.

Sehingga pukul 11 malam sebanyak 188 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di enam negeri yang terjejas banjir kerana hujan lebat sejak semalam, melibatkan 11,384 mangsa daripada 4,500 keluarga.

Selain Selangor, negeri lain yang terjejas adalah Pahang, Terengganu, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan terkini Perak.

Ismail Sabri berkata pihak berkuasa akan memastikan proses pemindahan dan bantuan makanan diuruskan malam ini juga.

Terdapat 521 pangkalan hadapan JKM tersedia di seluruh negara bagi membekalkan keperluan barangan untuk mangsa di PPS.
Mengenai keadaan terkini banjir di Selangor, Ismail Sabri berkata sehingga 10.45 malam, 45 PPS dibuka menempatkan seramai 3,826 mangsa daripada 2,551 keluarga.
“Situasi di Selangor ini, ia agak kelam kabut memandangkan negeri ini biasanya tidak terjejas apabila tiba musim tengkujuh,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan Ketua Polis Negara mengerahkan lebih ramai anggota untuk membantu mangsa banjir di Selangor.

Ismail Sabri berkata 39 PPS dibuka di Kelantan; dua di Terengganu; 84 di Pahang; sembilan di Melaka; sembilan di Negeri Sembilan dan 45 di Selangor.

“Semua bantuan dan aset diuruskan dan telah digerakkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Pusat.

Secara keseluruhannya 66,015 petugas terlibat terdiri daripada agensi penguat kuasa iaitu polis, tentera, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Ismail Sabri berkata sebanyak 5,731 PPS tersedia di seluruh negara yang boleh menempatkan 1.6 juta mangsa.

Beliau berkata pada masa sama 500 sukarelawan Skuad Keluarga Malaysia digerakkan untuk membantu mangsa-mangsa di PPS. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.