UMNO Sabah Ikut Keputusan UMNO Pusat – Bung Moktar

Sandakan, 18 Dis – UMNO Sabah mengambil pendirian yang sama dengan UMNO Pusat dalam menentukan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata walaupun UMNO Sabah mempunyai autonomi, namun ia hanya membabitkan kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya, di peringkat Parlimen, keputusan tertakluk kepada UMNO Pusat kerana jawatan Perdana Menteri ditentukan oleh kepemimpinan pusat dan bukannya di Sabah.

“Pendirian UMNO Sabah adalah seiring dengan Semenanjung. Autonomi yang berkaitan dengan kerjasama bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya untuk PRN saja,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kinabatangan, hari ini.

Mengenai jumlah kerusi bakal ditandingi UMNO Sabah, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, berkata ia tertakluk kepada keputusan Barisan Nasional (BN) Pusat.

“Kalau dia kata bertanding di 25 kerusi Parlimen, 25 kerusilah,” katanya.

Beliau berkata, senarai calon parti itu untuk PRU-15 juga sudah dikenal pasti tetapi pihaknya akan membuat penilaian semula melalui kajian di setiap Parlimen pada Januari depan.

“Apa yang penting ialah kita mahu ketengahkan calon pilihan rakyat,” katanya.

Sementara itu, katanya UMNO Sabah juga akan mengetengahkan usul untuk memperkasa parti dan Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15.

Jelasnya, pemimpin UMNO tidak boleh bertelagah sesama sendiri, sebaliknya semua pemimpin perlu sedar tanggungjawab dan peranan mereka dalam mengukuhkan parti. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.