UMNO Pasir Puteh Usul Pinda Perlembagaan Parti, Tetapkan Pemilihan Selepas PRU

PASIR PUTEH, 18 Dis – Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Puteh hari ini sebulat suara mengusulkan cadangan untuk meminda perlembagaan parti itu bagi menetapkan pemilihan UMNO diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman, berkata pihaknya juga akan mengusulkan kepada kepimpinan parti itu untuk mengadakan Perhimpunan Agung Khas UMNO bagi tujuan tersebut.

“Ketetapan sebulat suara ini dilakukan setelah perwakilan seramai 450 mengambil kira keperluan untuk seluruh anggota parti memberikan penumpuan kepada segala usaha membantu rakyat di samping kesiapsiagaan parti menghadapi PRU.

“Di samping itu ketetapan ini juga dibuat bagi memastikan kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili UMNO dalam kerajaan terus dipertahankan.

“Ia demi melaksanakan amanah mentadbir negara dan menguruskan hal-ehwal rakyat dengan sempurna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemilihan parti selepas PRU sudah tentu mampu memastikan kestabilan politik dan kerukunan dalaman parti sekali gus menjamin keharmonian politik negara.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, UMNO Bahagian Pasir Puteh juga mendesak kerajaan segera mengambil tindakan terhadap ahli keluarga bekas Gabenor, Tan Sri Zetty Akhtar Aziz yang terlibat dalam skandal 1MDB melibatkan ratusan juta ringgit.

Semalam, media melaporkan, majoriti perwakilan Pemuda UMNO di seluruh negara mengesa agar pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan berkata, gesaan itu merupakan antara dua usul utama dikemukakan oleh 176 Bahagian Pemuda UMNO yang bersidang pada baru-baru ini dan dikemukakan kepada ibu pejabat parti untuk dimuktamadkan. – Malaysiapost