UMNO Negeri Sokong Penuh Ismail Sabri Sebagai PM Hingga Habis Penggal

KUALA LUMPUR, 18 Dis – UMNO negeri-negeri hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sehinggalah tamat tempoh penggal ke-14 Parlimen.

Sokongan itu dizahirkan menerusi usul yang dibawa oleh beberapa bahagian pada mesyuarat perwakilan yang diadakan di seluruh negara hari ini.

Di SELANGOR, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Tan Sri Noh Omar berkata usul tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat perhubungan parti itu pada Rabu lepas yang disertai 22 bahagian UMNO negeri.

“Kita di Selangor bersetuju untuk bawa usul menyokong penuh kepimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri (ke Perhimpunan Agung UMNO), itu yang kita putuskan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang hari ini.

Beliau berkata Ismail Sabri perlu diberikan peluang untuk membuktikan bahawa kepimpinan UMNO mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Perhimpunan Agung UMNO 2021 dijadualkan pada 13 hingga 15 Jan tahun depan.

Di PULAU PINANG, pandangan sama turut disuarakan UMNO negeri selain menyokong Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata kedua-dua pemimpin itu berperanan penting dalam memperkukuhkan kerajaan dan parti.

Dalam pada itu, UMNO Selangor dan Pulau Pinang menyatakan kesediaan untuk menjalinkan kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) pada PRU15.

Di KEDAH, UMNO negeri itu membuat ketetapan untuk memberi ruang kepada perdana menteri memulihkan semula ekonomi, politik dan sosial di negara ini, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Naib Presiden parti yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid pula berkata UMNO bahagian itu meluluskan usul supaya Ismail Sabri ditampilkan sebagai ‘wajah’ Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada PRU15 akan datang.

Di JOHOR, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Hasni Mohammad berkata UMNO negeri turut memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Ismail Sabri tetapi ia tidak perlu diterjemahkan dalam bentuk usul atau undian.

“…perdana menteri adalah dari UMNO dan UMNO merupakan sebuah parti yang sudah pun lebih 70 tahun, sudah matang betul,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pontian.

Sementara itu, Naib Presiden yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata UMNO bahagian itu menyokong penuh kepimpinan Ismail Sabri namun mengusulkan supaya Parlimen segera dibubarkan.

Beliau berkata UMNO bahagian berkenaan juga menyokong memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) pada 13 Sept lalu demi kestabilan politik negara.

Di KELANTAN, UMNO Bahagian Machang sebulat suara meluluskan usul Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Ketua UMNO bahagian itu Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Di MELAKA, Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata UMNO bahagian itu tidak membawa secara khusus usul sokongan ke atas perdana menteri tetapi secara prinsipnya, para perwakilan di bahagian itu menyokong kepimpinan Ismail Sabri.

Ini susulan prestasi dan kepimpinan cemerlang Ismail Sabri dalam mentadbir kerajaan ketika ini, katanya.

Di NEGERI SEMBILAN, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tiada sebarang usul mengenai kedudukan perdana menteri dibangkitkan pada persidangan perwakilan UMNO Bahagian Rembau dan menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan tertinggi parti.

Di PERAK, Pengerusi UMNO negeri Datuk Seri Saarani Mohamad berkata UMNO Perak berpandangan bahawa pilihan raya umum tidak boleh diadakan terlalu awal atau terlalu lewat kerana kerajaan ketika ini perlu mengurus krisis COVID-19.

Pada masa yang sama, katanya, UMNO perlu mengekalkan momentum parti yang kini di tahap positif.

Sementara itu, mesyuarat perwakilan UMNO bahagian di seluruh negara turut membincangkan usul menangguhkan pemilihan parti sehingga selepas PRU15, tidak mengadakan kerjasama dengan Bersatu dan mengusulkan supaya kerajaan Persekutuan mempercepat pembentangan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.