Asas Perjuangan UMNO Adalah Menyatupadukan Rakyat – Ismail Sabri

BERA, 18 Dis – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata asas perjuangan UMNO adalah untuk menyatupadukan orang Melayu, umat Islam dan Bumiputera di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, pada tahun 1946 UMNO menyatupadukan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang berpecah ketika itu dan hasilnya Melayu menjadi kuat sehingga Inggeris sudah tidak mampu bertahan di negara ini.

“Syarat untuk Melayu kuat adalah bersatu padu sesama Melayu. Bukan itu sahaja, kita bukan sahaja menjadi katalis kepada penyatuan umat Melayu tetapi juga menyatupadukan kaum lain bersama UMNO.

“Sebab itu kita tubuhkan parti Perikatan yang menyatupadukan UMNO yang mewakili kaum Melayu bersama MCA yang mewakili kaum Cina dan MIC mewakili kaum India.

“Sejarah ini tidak boleh dilupakan, bagaimana peranan UMNO untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum melalui pendekatan ini. Bermakna kita bukan sahaja juara kepada penyatuan kaum Melayu tetapi juga dengan kaum-kaum lain,” ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, di sini hari ini.

Jelasnya lagi, Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak juga berjaya menyatupadukan rakyat dengan menubuhkan gabungan yang lebih besar iaitu Barisan Nasional (BN).

“Kalau hanya tiga parti di bawah Perikatan, akhirnya pada tahun 1974 Allahyarham Tun Abdul Razak menubuhkan BN yang menggabungkan berbelas-belas parti di dalam negara ketika itu.

“Inilah UMNO yang sentiasa menyeru kepada perpaduan, yang sentiasa menyeru kepada penyatuan,” katanya.

Ulasnya, perkara yang sama pernah beliau ucapkan ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri tetapi telah disalah ertikan oleh segelintir pihak.

“Tetapi apabila saya berucap di Bera pada minggu lepas, saya telah disalah anggap, pelbagai fitnah keluar. Apabila saya sebut penyatuan Melayu, bukan bermakna dengan parti-parti Melayu sahaja tetapi termasuk juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

“Saya harap kita terbuka dalam soal ini iaitu membuka UMNO kepada NGO-NGO Melayu untuk menyertai UMNO secara ahli bersekutu. Dua (kategori) ahli, ahli secara terus dan ahli di dalam Perlembagaan (UMNO), ahli bersekutu.

“UMNO perlu diperluaskan lagi. Selain kita mencari ahli yang baru untuk masuk ke dalam UMNO, kita sepatutnya membuka luas dan mencari lebih banyak pertubuhan Melayu untuk menjadi ahli bersekutu di dalam UMNO,” tambahnya.

Oleh kerana itu katanya, penyatuan Melayu bukan sahaja fokus kepada parti-parti politik sahaja tetapi terbuka kepada NGO-NGO Melayu dan barulah peranan UMNO untuk menyatupadukan Melayu dapat dirasai dan dilihat.

Begitu juga katanya, jika ada gesaan supaya berpecah, ia lari daripada asas perjuangan UMNO untuk menjadi payung kepada orang Melayu di seluruh negara.

“Inilah sepatutnya yang menjadi hala tuju perjuangan UMNO iaitu menyatupadukan seluruh orang Melayu sama ada melalui parti ataupun pertubuhan-pertubuhan Melayu yang bukan menyokong mana-mana parti,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.