Mesyuarat Bahagian Wajahkan Semula UMNO, Teguhkan Hala Tuju Demi Perjuangan – Mustafa

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Mustafa Musa berpandangan mesyuarat UMNO bahagian kali ini adalah penting untuk mewajahkan semula UMNO bagi meneguhkan hala tuju parti keramat ini.

Menurut beliau, ianya juga bagi membuktikan kepada umum bahawa dalam apa juga keadaan parti ini sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan dengan semangat yang membara daripada dalam kalangan ahli akar umbi.

“Kita berpendapat bahawa mesyuarat kali ini amat penting untuk membuktikan bahawa UMNO sebuah parti yang bersatu dan sentiasa berganding bahu. Mantap, unggul dan padu walau apa juga keadaan yang berlaku.

“Pada ketika kita menjadi kerajaan, pambangkang, semasa kita kalah dan menang UMNO adalah satu-satunya parti yang menjunjung etika penyatuan dan sentiasa melihat bahawa kepentingan parti melebihi segala-galanya.

“Perhubungan UMNO negeri meletakkan kepercayaan kepada wibawa kesemua UMNO bahagian untuk mengendalikannya bagi membawa usul yang cukup dinamik untuk pembangunan politik negara kita khususnya UMNO negeri Melaka,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Jelasnya ini kerana ianya sebagai meneruskan kesinambungan UMNO sebagai wadah perjuangan parti dan sekaligus menjadi model untuk parti-parti gabungan di bawah Barisan Nasionl (BN).

Tambah beliau lagi, mesyuarat bahagian ini membawa signifikannya yang tersendiri apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) mencatatkan kemenangan yang luar biasa kepada BN.

“Perhubungan UMNO negeri Melaka yang pertamanya kita rasa bangga kerana PRN Melaka baru lepas dan kita menang dengan majoriti lebih daripada dua pertiga. Ini tentu sekali menggambarkan pemulihan sokongan rakyat kepada BN dan penyatuan yang unggul dalam kalangan ahli UMNO.

“Selepas sahaja PRN kita ada pula perhimpunan perwakilan UMNO bahagian-bahagian, kesemuanya enam bahagian Alor Gajah, Hang Tuah Jaya, Kota Melaka, Jasin, Masjid Tanah dan juga Tangga Batu semuanya akan dilaksanakan pada Sabtu ini.

“Mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri telah pun berlangsung pada minggu lepas jadi tentunya platform ini menjadi gelanggang dan juga wadah terbaik untuk akar umbi menyuarakan yang hasrat mereka di samping menentukan hala tuju dan bagi membawa usul-usul yang berkaitan dengan penyatuan ummah,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.