Kaji Semula Pindaan Akta 342, Kerja Khidmat Masyarakat Boleh Dijadikan Hukuman

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Melaka Datuk Koh Chin Han menggesa kerajaan mengkaji semula kenaikan kompaun yang terlalu tinggi di dalam pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)

Katanya, mana-mana pihak yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sememangnya wajar dihukum dengan tujuan mencegah jangkitan COVID-19.

“Namun begitu, penetapan hukuman yang terlalu keras dan denda yang terlampau tinggi dilihat tidak efektif. Ini kerana kebanyakan individu ataupun syarikat korporat tidak mampu membayar denda yang begitu tinggi dan mereka mungkin terpaksa dipenjarakan.

“Sebaliknya, demi mencapai kadar pematuhan SOP yang lebih baik, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disaran mempertimbangkan kerja-kerja khidmat masyarakat dijadikan sebagai hukuman terhadap pesalah yang didapati melanggar SOP,” ujarnya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman rasmi MCA di sini hari ini.

Koh memberi respon demikian merujuk kepada KKM yang telah membentangkan cadangan dan pindaan kepada Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) di dalam Dewan Rakyat.

Antaranya kenaikan had maksimum denda individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dari RM1,000 ke RM100,000 dan 7 tahun penjara, manakala had maksimum denda untuk korporat yang langgar SOP dinaikkan dari RM50,000 ke RM2 juta.

Jelasnya lagi, walaupun kenaikan denda ini berniat baik iaitu untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 serta memberi kesedaran kepada mereka yang masih degil dan keras kepala, namun hukuman dan denda yang dicadangkan itu dilihat sebagai melampau, tidak selari dengan niat asal hukuman dikenakan di samping menambahkan beban rakyat.

“Selain itu, hukuman yang terlampu tinggi dan tegas juga dikhuatiri membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan kegiatan rasuah dan ini akhirnya akan menjejaskan niat asal pelaksanaan SOP, iaitu untuk melindungi rakyat daripada jangkitan COVID-19,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.