Pindaan RUU 342 Wajar Diteliti Semula – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Cadangan terhadap pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) wajar diteliti semula, gesa Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Tegasnya, menghukum individu yang melanggar operasi standard seperti gagal memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal sehingga denda maksimum RM10,000 atau penjara untuk tempoh maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya adalah sangat tidak munasabah.

“Apalagi bila rang undang-undang (RUU) tersebut tidak menyertakan garis panduan untuk mengeluarkan kompaun.

“Alasan Ketua Pengarah Kesihatan bahawa ia sedang diperhalusi dan akan dimuktamadkan selepas undang-undang itu diluluskan adalah tidak menepati objektif pindaan ini,” kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ulasnya lagi, tiada undang-undang wajar diluluskan tanpa segala maklumat dan perincian dijelaskan dengan telus untuk pertimbangan ahli legislatif.

“Tindakan ‘piecemeal’ seperti ini menunjukkan ketidaksediaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam merangka pindaan tersebut.

“Apa jua tindakan menyegerakan RUU ini tidak boleh mengabaikan ketelusan dan keadilan. ‘Justice rushed is justice crushed’,” katanya.

Seterusnya tambah Mohamad, negara ini mesti belajar dari episod pandemik ini.

“Salah satu sebab kenapa kita terus dalam keadaan sekarang ialah kerana kegagalan kita dalam melaksanakan keadilan dalam penguatkuasaan kerana telah banyak kes layanan dan tindakan ‘dua darjat’ antara orang biasa dengan mereka yang kenamaan dan berkuasa.

“Orang kampung, peniaga dan mereka yang biasa-biasa, dikenakan kompaun dengan secara tidak munasabah. Tetapi orang yang ternama, dikenakan denda yang sangat ringan.

“Di kota-kota besar negara lain, kita diberikan pelitup muka jika kita tidak membawanya. Kita dinasihati dengan sopan,” katanya.

Demikian juga ujarnya, Malaysia tidak boleh menjadi negara bersifat ‘punitive’.

“Negara ini harus menjadi negara yang undang-undangnya mesti dilaksanakan dengan kemanusiaan.

“Ingatlah keadilan itu di tangan kanan, ihsan itu di tangan kiri,” pesannya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.