UMNO Perlu Kekalkan Momentum Untuk Hadapi PRU-15, Gesa Bung

KOTA KINABALU, 13 Dis – Ketua UMNO Sabah mengingatkan agar kepimpinan parti di semua peringkat mengekalkan momentum gerak kerja masing-masing yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang semakin hampir.

Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, ketika ini semua jentera parti perlu diperkemaskan dan dimantapkan sementara menunggu dua tarikh penting PRU-15 iaitu pembubaran Parlimen.

“Kita perlu terus berkerja, parti kita (UMNO) mempunyai organisasi yang lengkap dari bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri dan cawangan. Kompenan ini jika digerakkan secara bersepadu dan teratur akan memudahkan lagi gerak kerja kita menghadapi PRU-15.

“Momentum kita ketika ini cukup baik, dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya Negeri (PRN) yang terkini PRN Melaka kita mencapai kejayaan cemerlang, namun kejayaan ini jangan terus melekakan kita sebaliknya bukan sahaja mengekalkan momentum yang ada, tapi kita perlu terus berkerja dan mendekati ahli di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian di dalam perutusan sempena mesyuarat perwakilan UMNO bahagian bahagian yang bermula Sabtu lepas yang didahului oleh Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dan akan disusuli dengan mesyuarat perwakilan bahagian-bahagian serentak di seluruh negara pada Sabtu depan (18 Dis).

Menurut Bung semangat ahli-ahli UMNO untuk terus berjuang kembali pulih selepas prestasi cemerlang baik semasa PRK atau PRN yang diadakan, ini membuktikan parti UMNO/Barisan Nasional (BN) masih relevan dan menjadi pilihan rakyat.

“Jentera UMNO/BN perlu berada di hadapan walaupun berdepan pelbagai cabaran,” kata Timbalan Ketua Menteri dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu lagi.

Sehubungan dengan itu Bung yang juga Ketua UMNO bahagian Kinabatangan mengingatkan pemimpin UMNO di semua peringkat agar terus turun padang mendekati ahli dan rakyat.

“Menyelami setiap masalah yang dihadapi oleh rakyat untuk dibantu atau disuarakan kepada pihak yang berkenaan.

“Selain turun padang jentera kita perlu disusun rapi daftar keahlian perlu diperkemaskan dan tubuh seberapa banyak cawangan selain amalkan pintu terbuka kepada mereka yang kembali dan berjuang bersama UMNO,”, kata Ahli Parlimen Kinabatangan itu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.