Kerajaan Perlu Perjelas Kewajaran Penubuhan Digital Nasional Berhad – Mohamad

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta penjelasan daripada kerajaan berkenaan kewajaran penubuhan Digital Nasional Berhad (DNB) yang berperanan dalam perlaksanaan jaringan 5G.

Katanya ini kerana, syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan itu berperanan menjalankan monopoli khusus dalam perlaksanaan dan pengendalian perkhidmatan 5G seluruh negara selama 10 tahun.

“Milik penuh Kementerian Kewangan diperuntukkan spectrum 5G secara percuma dan eksklusif ianya kemudian akan dijual kepada syarikat-syarikat telekomunikasi mengikut model Single Wholesale Network (SWN).

“Pendekatan ini secara efektif memberikan DNB monopoli… sehingga kini, kerajaan gagal menjelaskan rasional menggunakan model ini.

“Apa kewajaran penubuhan DNB ini sebenarnya? Jika ia lebih efektif, jelaskan bagaimana ia akan lebih efektif dalam pelaksanaan jaringan 5G tanpa persaingan,” soal beliau menerusi satu hantaran di Facebook.

Malah beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyoal keperluan untuk kerajaan melibatkan diri dalam perniagaan sehingga mewujudkan satu lagi syarikat berkepentingan seperti ini.

“Jelaskan juga kelestarian model kewangan dalam membiayai DNB dan mandatnya? Apa lagi bila DNB mengumumkan pelancaran rangkaian 5G di seluruh negara menelan belanja sehingga RM20 bilion selama 10 tahun dengan pendanaan melalui pinjaman bank dan penerbitan sukuk.

“Kenyataan yang mengatakan bahawa model pembiayaan yang dicadangkan tidak akan melibatkan jaminan kerajaan adalah janggal kerana DNB adalah milik kerajaan. Pastinya sebarang risiko atas hutang dan keperluan kewangan operasinya akan secara langsung menjadi beban kerajaan.

“DNB juga diberi tanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan kesediaan dan kualiti perkhidmatan rangkaian adalah terjamin kepada pengguna. Jika mengikut model 3G/4G terdahulu, tanggungjawab ini adalah terletak kepada syarikat telekomunikasi,” ujar beliau.

Mohamad juga berkata pemusatan kepada DNB sebagai penyedia adalah berisiko untuk berlaku single point of failure seperti yang berlaku pada rangkaian Starhub di Singapura April lalu boleh terjadi dan berpotensi menjadi kerumitan yang besar kepada rakyat dan negara.

“Kerajaan pasti maklum bahawa model SWN ini telah terbukti gagal di negara seperti Mexico, Belarus, Rwanda, Kenya, Russia dan Afrika Selatan semasa implementasi rangkaian 4G.

“Keengganan negara-negara luar untuk mengikut model ini memberi petunjuk yang jelas berkenaan kelemahan model ini.

“Risiko yang diambil oleh kerajaan memerlukan penjelasan yang konkrit. Defisit keyakinan terhadap DNB dan model SWN nampaknya semakin jelas dan kerajaan mesti menanganinya,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib