Jangan Berpecah Hanya Disebabkan Berbeza Pandangan – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, 13 Dis – UMNO tidak boleh berpecah hanya disebabkan perbezaan pandangan, demikian tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Seru Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu, hormatilah pandangan akar umbi dan patuhilah keputusan parti.

“Sekiranya semua berpegang kepada keputusan parti maka tidak timbul soal kem dan kumpulan.

“Kepimpinan negara kini dipimpin oleh seorang Perdana Menteri dari UMNO. Tentunya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu didokong oleh sekalian ahli UMNO.

“Itulah pandangan parti dan kepimpinan utama. Justeru jangan ada lagi pertelingkahan sehingga boleh memecah-belahkan parti. Jangan ada apa-apa gerakan untuk menumbangkan pemimpin itu, pemimpin ini,” ujar Ketua UMNO Bahagian Lumut itu di dalam intipati ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Lumut pada Ahad yang dicatatkan di Facebooknya.

Ulasnya lagi, negara sedang berhadapan dengan kemelut ekonomi dan COVID-19 yang memerlukan tindakan bersama.

“Tumpuan adalah kepada bagaimana kita dapat menangani masalah ini.

“Soal bila perlu diadakan pilihan raya serahkan kepada pucuk pimpinan. Telah diputuskan supaya ‘the top five’ (Presiden, Timbalan, tiga Naib-naib Presiden) akan memberi panduan kepada parti,” katanya.

Jelasnya lagi, keperluan bagi parti ialah membuat persiapan awal untuk berhadapan dengan realiti baru.

“Perkemaskan jentera dan perbaiki kelemahan. Jemput dan bawalah seramai mungkin untuk wanita dan anak-anak muda serta puteri menyertai parti ini. Usah jauhkan mereka dari parti. Jangan sekat mereka untuk menganggotai parti.

“Inilah masa untuk membina keyakinan baru dan menyatukan semua serta bergerak ke hadapan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor itu lagi.

Di samping itu, Dr Zambry turut mengingatkan bahawa pengundi automatik dan pengundi 18 tahun adalah realiti baru yang perlu dihadapi oleh UMNO di mana mulai 15 Dis ini, senarai pengundi baru termasuk dalam kategori 18 tahun akan digazetkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam ucapan perasmiannya itu, Dr Zambry juga menyentuh mengenai cabaran baru yang pendukung parti perlu hadapi setelah usia lebih tujuh dekad UMNO berada di pentas politik nasional.

“Kita perlu sedar tentang perubahan-perubahan yang berlaku di keliling kita, justeru perlu juga bersedia untuk berubah.

“Sebuah karya besar yang dibaca oleh ramai pemimpin dunia, ‘21 Lessons for the 21st Century’ oleh Yuval Hariri, mencatatkan betapa dunia masa kini dan masa depan tidak lagi sama dengan apa yang kita lalui dulu.

“Ledakan maklumat dan berita sudah tidak mampu dihadam lagi, tetapi ia menguasai setiap kehidupan manusia termasuk dalam dunia politik. Salah satu ledakan yang amat sukar kita berhadapan ialah berlaku pandemik berita palsu (fake news pandemic). Akibatnya orang mempercayai segala bentuk propaganda dan psy-war dengan mudah,” tegasnya.

Begitu juga, Dr Zambry turut menyentuh tentang khidmat parti yang perlu diteruskan kepada rakyat.

“Biarpun di sebalik cabaran yang pelbagai, tetapi UMNO perlu mendekati rakyat dan pantas bertindak untuk membantu apabila sebarang musibah melanda.

“Alhamdulillah kita bertindak pantas membantu masalah keluarga dan kawasan yang terkena COVID-19. Demikian juga di kawasan yang dilanda ribut dan banjir kilat baru-baru ini,” katanya.

Dr Zambry turut bersyukur majlis perasmian tersebut dapat diadakan dengan jayanya dengan kehadiran yang memberangsangkan serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di Dewan Konvensyen Majlis Perbandaran Manjung, Lumut.

Berhubung Dewan Konvensyen Majlis Perbandaran Manjung itu, Dr Zambry berkata ia mempunyai sejarahnya apabila pada tahun 2016 sewaktu Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut, beliau telah memohon secara terbuka di hadapan semua perwakilan agar Perdana Menteri dapat meluluskan sebuah dewan baru untuk mengadakan konvensyen besar dengan anggaran harga RM12 juta. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.