Matlamat BN Kembali Jadi Pilihan Utama Rakyat Pada PRU – Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Dis – Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan matlamat parti sentiasa jelas iaitu untuk BN kembali menjadi pilihan utama rakyat Malaysia dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Meski pun begitu, beliau mengakui bahawa ada anasir yang cuba menggugat keutuhan BN, namun PRN Melaka membuktikan natijahnya parti komponen ini masih padu malah menjadi pilihan rakyat.

“Keyakinan rakyat bersama BN dan calon tunggal MIC diberi mandat serta kemenangan mutlak oleh pengundi di Dewan Undangan Negeri Gadek… mari kita terus kukuhkan hubungan istimewa antara komponen BN ini walau apa dugaan dan cabaran mendatang.

“Segalanya demi masa depan Malaysia yang makmur dan sejahtera,” beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook sempena merasmikan Persidangan Tahunan MIC Ke-75, pagi tadi.

Sementara itu, mengulas lanjut beliau meluahkan penghargaan kepada MIC yang merupakan sahabat dalam BN termasuk menghadapi pelbagai cabaran bersama.

“Sebuah parti politik yang dari dulu bersama dalam perjuangan BN… semangat setia kawan yang terbina dalam kalangan parti komponen BN sejak asas penubuhannya terus mekar.

“Lumrah kancah politik sekali sekala timbul perkara yang menguji hubungan namun semangat kemuafakatan meleraikannya,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.