Jangan Lupa Anak Muda… Undi 18 Akan Ubah Senario Politik Negara – Iqbal Jamal

IPOH BARAT, 12 Dis – Ketua Pemuda Ipoh Barat, Muhamad Iqbal Jamal Jamaludin berkata UMNO perlu terus menyusuri dan mendalami idealisme anak-anak muda yang pelbagai supaya perjuangan parti terus mekar dan berupaya menempuh apa jua cabaran dan gelombang yang mendatang.

Menurut beliau ditambah pula dengan undi 18, tentunya akan mengubah senario politik negara dan pelbagai langkah perlu disusun supaya langkah yang diambil hari ini dan seterusnya kelak benar-benar memberikan pilihan yang terbaik buat mereka.

“Kita perlu mendalami idealisme anak muda yang pelbagai, ada antaranya yang mungkin haluan kiri, ada di antaranya haluan kanan, ada yang mengambil pendekatan untuk haluan tengah. Tetapi untuk kita terus fahami minat mereka, kita tidak boleh bergaul hanya bersama UMNO… daripada 10 program politik yang kita laksanakan, sekurang-kurangnya lima atau enam perlu berada di luar kolam UMNO.

“Cadangan dasar adalah antara cara untuk kita menarik minat orang muda, seperti contoh, antara masalah yang dihadapi oleh orang muda adalah peluang pekerjaan, banyak akan mencari punca rezeki di dalam bandar dan mungkin ramai akan datang ke dalam Parlimen kita.

“Kita memudahkan pencarian kerja dengan membawa cadangan dasar bahawa kerajaan negeri Perak bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk merangka skim jaminan pekerjaan, di mana siapa-siapa pun yang ingin bekerja akan dapat kerja. Apa-apa pun yang boleh difikirkan, sama ada cadangan dasar dalam bidang pertanian, keusahawanan, alam sekitar, jika kita merasakan bahawa itu la minat orang muda, kita perlu bawa ke depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat Pemuda UMNO Ipoh Barat, di sini, hari ini. Turut serta Ketua bahagian, Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar dan pimpinan yang lain.

Dalam soal undi 18, Iqbal Jamal seterusnya menambah parti akan berdepan dengan mereka-mereka yang tidak ada kesetiaan kepada mana-mana parti politik, namun UMNO dan Barisan Nasional adalah parti yang jujur dan ikhlas dalam perangkaan manifestonya selain tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi janji apa yang akan dilakukan.

“Yang jelas, mereka tidak akan terbuai dan tidak akan makan janji gula-gula palsu Pakatan Harapan. Tidak akan ada yang percaya bahawa PTPTN akan dihapuskan, tidak akan ada yang percaya bahawa tol akan dimansuhkan, tidak akan ada yang percaya EPL akan disiarkan secara percuma.

“Insya-Allah dalam perjuangan kita untuk meningkatkan sokongan kita di bandar, BN negeri Perak akan memastikan dokumen manifesto yang akan dirangka akan menyentuh perkara-perkara yang dekat dengan orang bandar. Golongan undi 18 akan kita cari apa sebenarnya isu-isu yang dekat dengan mereka. Yang pasti pada saat ini, mereka ingin kerajaan yang telus dan dipimpin dengan baik. Saya yakin ini antara perkara yang telah dilaksanakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad,” ujarnya.

Menyambung ucapannya, Iqbal seterusnya berkata tumpuan terhadap rakyat terus menjadi keutamaan walaupun umumnya tahu bahawa demograsi di kawasan Ipoh Barat tidak sama dengan UMNO bahagian yang lain.

Jelasnya dalam konteks Ipoh Barat, sebuah bahagian di mana hampir 65 peratus pengundinya berbangsa cina, 25 peratus pengundinya berbangsa India, dan sekitar 10 hingga 11 peratus pengundinya berbangsa Melayu, agenda rakyat terus menjadi keutamaan.

“Pendekatan kita kepada pengundi sedikit berbeza daripada pendekatan UMNO Bahagian yang majoritinya Melayu. Atas sebab itu, banyak yang kita tumpukan di Parlimen Ipoh Barat ini perlu berkait rapat dengan ekonomi. Kenapa saya sebut segala perkara di atas? Sebab tujuan utama kita sebagai ahli-ahli pemuda UMNO Ipoh Barat adalah untuk menjadi perantaraan antara rakyat dan kerajaan.

“Memudahkan segala urusan mereka dalam mencari pekerjaan, memohon pembiayaan. Kita perlu menjadi pemudahcara dan kita perlu menjadi ‘point-person’ yang mereka hubungi untuk minta bantuan-bantuan ini.

“Seperti yang saya sebut sebelum ini, pendekatan yang berbeza, dengan pendekatan ini, mereka yang bukan berbangsa Melayu senang dekat dengan kita, dan di situ kita bantu parti kita dalam meraih undi bagi yang bukan Melayu,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut mencadangkan agar kerajaan membangunkan industri-industri baharu dalam membantu rakyat yang hari ini rata-rata terkesan dengan pandemik dan sebagainya lagi.

“Satu sentuhan akhir adalah sebuah cadangan, dalam keadaan di mana negara kita dalam fasa pemulihan dan kerajaan sedang mengalami sedikit kekangan kewangan, tiba masanya kita mencadang bahawa kerajaan membantu rakyat dalam membangunkan industri-industri baharu seperti Agrotani berimpak tinggi untuk mengembangkan ekonomi kita dan terus mencipta pekerjaan bergaji tinggi bagi rakyat Malaysia,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.