Teruskan Menjadi Jurucakap Bangsa, Menjuarai Denyut Nadi Rakyat – Norshida

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Perwakilan mesyuarat Wanita dan sayap Pemuda serta Puteri UMNO bahagian seluruh negara pada Sabtu dan Ahad ini diharapkan agar sama-sama memanfaatkan ruang berkenaan untuk terus membawa parti sebagai jurucakap bangsa menjuarai denyut nadi rakyat.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim dalam satu kenyataannya kepada UMNO-Online menegaskan itulah tempat sebaiknya untuk masing-masing memainkan peranan sewajarnya demi anak cucu pada masa akan datang.

“Selamat bersidang kepada semua perwakilan ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri seluruh Malaysia.

“Inilah platform dan ruang yang terbaik untuk membawa parti UMNO tercinta ini kembali kepada asasnya iaitu kembali menjadi jurucakap bangsa menjuarai denyut hati rakyat,” katanya.

Katanya lagi, jadikanlah persidangan pada kali ini sebagai pentas merapatkan saf dan memperbaharui semangat perjuangan bersama demi agama, bangsa dan tanah air.

“Patuhilah prosedur operasi standard (SOP) di dalam kita bersama bermesyuarat sesama kita. Semoga Allah melancarkan dan memberkati perjumpaan kita kali ini.

“Manfaatkan persidangan ini demi rakyat dan cucu-cicit kita kelak. Kembalikanlah parti keramat ini ke landasan yang tepat memenangi hati rakyat jelata,” ujarnya.

Cawangan-cawangan UMNO seluruh negara telah selesai mengadakan mesyuarat masing-masing pada 30 November lalu.

Manakala pada 11 serta 12 Disember ini akan diadakan mesyuarat di peringkat Wanita UMNO dan sayap bahagian manakala pada 18 Disember pula mesyuarat UMNO peringkat bahagian.

Perhimpunan Agung UMNO pula akan diadakan pada 13 hingga 15 Januari depan. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.