Prestasi Keseluruhan Jemaah Menteri Capai 90 Peratus Dalam 100 Hari Suntik Kesungguhan – PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Prestasi keseluruhan bagi tempoh 100 hari pentadbiran jemaah menteri yang mencapai sekitar 90 peratus kejayaan bukan alasan untuk mendabik dada sebaliknya ia menyuntik kesungguhan dan iltizam untuk barisan kabinet terus bekerja bersama rakyat, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana menteri berkata sasaran penuh Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tidak mustahil untuk dicapai sekiranya seluruh ahli Jemaah Menteri dengan kerjasama penjawat awam menggembleng tenaga dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada dan berkesan kepada Keluarga Malaysia.

“Meskipun pencapaian tidak menepati sasaran 100 peratus, pelbagai program telah dan akan dilaksanakan bagi menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat terutama dalam menghadapi tempoh pandemik COVID-19.

“(Ia dengan) mengetepikan segala kerenah birokrasi. Bagaimanapun, sesetengah prestasi tidak boleh dinilai daripada kaji selidik semata-mata. Maka peratusan yang dicapai ini bukan alasan untuk kita mendabik dada, sebaliknya ia menyuntik kesungguhan dan iltizam untuk kami terus bekerja bersama rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, jemaah menteri, timbalan menteri, ketua-ketua perkhidmatan dan ketua-ketua setiausaha kementerian.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.