Penubuhan ORACO Mampu Perkasa Ekonomi Masyarakat Orang Asli – Ramli Mohd Nor

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor berharap agar penubuhan badan berkanun Orang Asli di Pahang akan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain yang mempunyai masyarakat Orang Asli.

Ramli percaya penubuhan Orang Asli Corporation (ORACO) mampu memperkukuhkan dan memperkasakan ekonomi masyarakat Orang Asli di dalam negeri tersebut.

“Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM1 Juta bagi geran kepada ORACO untuk pembangunan masyarakat Orang Asli di Pahang.

“Dengan adanya peruntukan tersebut, ia akan membantu dalam penugasan awal pengurusan.

“Kami Orang Asli Negeri Pahang amat-amat berterima kasih pada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail Menteri Besar Pahang atas inisiatif penubuhan badan berkanun Orang Asli di peringkat Negeri Pahang ini,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Ramli juga berharap semoga dengan ini langkah ini, pengurusan ORACO boleh menggerakkan langkah pertama bagi mencapai matlamat ORACO bagi memperkukuhkan ekonomi masyarakat Orang Asli di Negeri Pahang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.