Pasca PKP Ramai Perlukan i-Citra RM10 Ribu, PM Beri Komitmen Perhalusi Bersama Menteri Kewangan – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau berpeluang memberikan penjelasan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa ramai yang memang dalam keadaan susah dan terdesak pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memulakan kehidupan akibat dibuang kerja, pemotongan gaji, cuti tanpa gaji dan hilang punca pendapatan sejak awal tahun lagi.

Katanya, dengan pelbagai komitmen dan hutang yang tertunggak, rata-rata begitu memerlukan pengeluaran buat kali terakhir dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kelangsungan hidup, bahkan ada yang mahu memulakan perniagaan kecil-kecilan.

“Saya turut mencadangkan, mungkin untuk pengeluaran kali terakhir ini, diberikan pilihan kepada yang memang benar-benar berkeperluan mendesak yang memerlukan mereka membuat permohonan dan terhad kepada yang mempunyai baki yang mencukupi.

“Hakikatnya, YAB PM (Yang Amat Berhormat Perdana Menteri) juga mengakui keperluan tersebut dan membaca setiap komen-komen di media sosial beliau yang memperlihatkan ramai memberikan maklum balas serupa mengenai isu i-Citra KWSP ini.

“Beliau menyatakan kepada saya untuk beliau berbincang dan membawa perkara ini kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) agar dapat diperhalusi cadangan yang dikemukakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Malam tadi, selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dr Asyraf berkata beliau turut mengambil peluang berbincang dengan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO mengenai isu yang banyak dibangkitkan oleh rakyat khususnya mengenai tuntutan untuk mengeluarkan buat kali terakhir wang simpanan mereka di dalam KWSP iaitu i-Citra RM10,000.

“Insya-Allah saya akan terus susuli dan ‘follow-up’ bagi pihak rakyat yang memerlukan,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.