Mesyuarat UMNO Pelbagai Peringkat Ada Nilai Dan Makna Tersendiri – Andy

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Persidangan UMNO di peringkat cawangan serta bahagian termasuklah sayap-sayap parti sebenarnya mempunyai makna dan nilai yang cukup tinggi kepada ahli UMNO kerana itulah tempat yang terbaik untuk masing-masing bersama-sama memperkasakan lagi parti.

Apatah lagi parti baru sahaja melepasi beberapa fasa yang tersendiri setelah mengalami kekalahan pertama pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu dan bagi negeri Sabah pula cabaran cukup besar setelah terdapat beberapa pemimpin bertindak keluar parti.

 

Bagi Ketua UMNO Kalabakan, Andi Muhammad Suryady Bandy kesempatan yang ada inilah untuk masing-masing memperkasakan parti dengan melontarkan apa jua pandangan dan juga strategi tertentu agar parti terus melangkah mendepani cabaran sebaiknya.

“Kita harapkan pada mesyuarat nanti ianya dapat terjemahkan lagi semangat perjuangan dan masing-masing juga diharapkan lebih bersemangat untuk menghadapi PRU akan datang agar kita akan dapat kemenangan yang lebih baik.

“Gunakanlah kesempatan ini untuk kita menjalinkan ukhuwwah serta sama-sama memastikan dan terus berusaha agar agenda pemerkasaan parti itu sentiasa berjalan dan ianya mestilah bermula di peringkat akar umbi,” katanya kepada UMNO-Online.

Tambah Andy lagi yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, segala usul yang difikirkan baik untuk parti mesti dibawa ke peringkat seterusnya dan itulah peranan perwakilan yang akan bersama-sama pada mesyuarat itu nanti.

“UMNO bahagian Kalabakan akan bersidang pada 19 haribulan nanti dan saya menyerulah kepada semua…gunakanlah platform ini untuk membawa usul yang sepatutnya dan sama-sama hayati serta menjalankan tanggungjawab sebagai ahli parti dan kita perkuatkan parti kita.

“Apabila parti kuat dan kesepaduan itu ada di setiap bahagian dan akar umbi saya fikir UMNO secara tidak langsung akan menjadi lebih kuat,” ujarnya.

Cawangan-cawangan UMNO seluruh negara telah selesai mengadakan mesyuarat masing-masing pada 30 November lalu dan pada 11 serta 12 Disember ini akan diadakan mesyuarat di peringkat sayap bahagian manakala pada 18 Disember pula mesyuarat UMNO peringkat bahagian.

Perhimpunan Agung UMNO pula akan diadakan pada 13 hingga 15 Januari depan. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.