Mesyuarat Perwakilan Bahagian Empat Peringkat Pada 11, 12 Dan 18 Dis Ini, PAU 2021 Pada 13-15 Jan 2022 Secara Hibrid

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Mesyuarat perwakilan empat peringkat UMNO iaitu Wanita, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri dan UMNO Bahagian akan diadakan pada 11, 12 dan 18 Disember ini di seluruh negara.

Demikian antara keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diadakan malam semalam, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan media di sini hari ini.


“Adalah diharapkan agar mesyuarat tersebut berjalan lancar dan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang sewajarnya sentiasa dipatuhi. Lebih 20,000 Persidangan UMNO Cawangan telah pun selesai diadakan pada 15 Oktober hingga 30 November 2021 dengan jayanya,” katanya.

Tambahnya, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 pula akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 13 hingga 15 Januari tahun hadapan secara hibrid iaitu gabungan kaedah bersemuka dan maya.

“Ini disebabkan SOP penjarakan masih perlu dipatuhi. Keterangan lanjut mengenai PAU 2021 akan dimaklumkan kemudian,” jelas Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Dalam perkembangan yang lain, MKT UMNO turut mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua jentera tempatan dan negeri angkat yang telah melaksanakan tugas cemerlang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“MKT juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada rakyat dan pengundi Melaka di atas kepercayaan memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) sebanyak 75 peratus atau tiga perempat kerusi DUN dalam PRN Melaka pada 20 November 2021.

“MKT berharap agar kepimpinan kerajaan negeri Melaka yang baharu dapat melaksanakan tugas sehabis baik bagi memastikan kemajuan rakyat negeri Melaka,” katanya.

Seterusnya kata Ahmad lagi, MKT juga menzahirkan rasa dukacita terhadap keputusan rayuan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak.

“Tanpa hilang hormat kepada keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, mesyuarat berharap agar keputusan rayuan beliau di Mahkamah Persekutuan kelak dapat diadili dengan saksama kerana ramai beranggapan bahawa beberapa tokoh yang dituduh selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 14 adalah kerana bermotifkan pendakwaan politik.

“UMNO percaya bahawa sistem kehakiman negara perlulah sentiasa menjunjung prinsip keadilan yang tinggi,” ujarnya. – UMNO ONLINE

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2021/12/KENYATAAN-MEDIA-9-DISEMBER-2021.pdf”]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.