#TuntutanRakyat Isu KWSP Harap Dipertimbangkan Untuk Penghidupan Pasca Pandemik – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dapat pertimbangkan dengan serius #TuntutanRakyat dalam isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Jelasnya, ini adalah demi kelangsungan hidup rakyat untuk memulakan penghidupan baharu pasca pandemik COVID-19.

“Ini demi kelangsungan hidup mereka untuk memulakan penghidupan baharu pasca Pandemik dan PKP yang rata-rata terbelenggu dengan pelbagai komitmen tertunggak, hutang dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit menerusi laman facebooknya.

Jelasnya, Datuk Seri Najib Razak turut menyuarakan dalam Parlimen termasuk solusi untuk menampung kembali simpanan yang dikeluarkan pencarum.

“Rata-rata rakyat marhaen masih meletakkan harapan tinggi agar Menteri Kewangan dapat mendengar keluhan mereka untuk dilululuskan pengeluaran kali terakhir KWSP i-Citra RM10 ribu.”

Terdahulu Dr Asyraf memaklumkan bahawa ramai pakar ekonomi mengkritik prestasi 100 hari, Tengku Zafrul yang hakikatnya antara personaliti yang dikekalkan daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang lepas.

“Harap Tengku Zafrul dapat pertimbangkan dengan serius #TuntutanRakyat dalam isu KWSP ini,” katanya lagi.

Dilaporkan, Pemuda UMNO konsisten memperjuangkan isu terbabit berikutan ramai dikalangan rakyat benar-benar terdesak memerlukan pengeluaran kali terakhir i-Citra RM10 ribu untuk memenuhi pelbagai keperluan dan memulakan kehidupan baharu pasca pandemik. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.