Luahan Pemandu Teksi Temerloh Akan Terus Diberi Perhatian

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Pandangan serta luahan pemandu teksi sekitar Temerloh mendapat perhatian Ketua UMNO bahagian berkenaan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Menerusi perkongsiannya bersama UMNO-Online, Sharkar yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang menyatakan perkara berkenaan diluahkan oleh Persatuan Pemandu Teksi Temerloh yang mengadakan Mesyuarat Agung mereka semalam.

“Semalam saya dijemput untuk merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Teksi Temerloh bertempat di Resthouse Temerloh. Ketika ucapan dari YDP Persatuan, En Halim Awang memaklumkan bahawa mereka amat terkesan.

“Ini adalah disebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang dan menyebabkan majoriti daripada mereka kehilangan pendapatan lebih daripada 80 peratus sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

“Pendapatan mereka juga merosot teruk akibat ketiadaan penumpang dan kadang kala pendapatan diperoleh tidak setimpal dengan kos yang terpaksa mereka dikeluarkan,” katanya.

Kata Sharkar lagi, pihakya akan mencari jalan serta kaedah dalam usaha membantu meringankan beban yang ditanggung oleh golongan tersebut.

“Insya-Allah, saya akan cuba membantu dan mencari jalan penyelesaian kepada pemasalahan ini. Saya mendoakan agar segala usaha mereka dipermudahkan dan dilimpahkan rezeki bagi menampung keluarga masing-masing,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.