Jangan ‘Over Confident’ Kejayaan Semasa – Shahril

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Ahli-ahli parti diingatkan agar tidak ‘over confident’ dengan kebangkitan UMNO dalam mendepani cabaran semasa hari ini sebaliknya terus istiqamah kerana kebangkitan hari ini belum lagi selesai.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata kemenangan yang dicapai dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini perlu disusuli dengan penghayatan kepada aspek yang sebenarnya.

“UMNO hari ini dilihat maju ke depan…sudah maju dalam proses kebangkitan dan inilah sebenarnya terjemahan atau bukti berkenaan. Namun kita jangan terlalu takbur atau terlalu yakin… untuk kita sama-sama memperingati erti kesetiaan dan keikhlasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program UMNO Wadah Perjuangan bersama UMNO Tenom, di sini Sabtu petang.

Turut serta Ketua Penerangan UMNO Negeri Sabah yang juga Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Raime Unggi dan pimpinan UMNO bahagian yang lain.

Pada masa yang sama, Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO seterusnya menambah kejayaan serta kemajuan yang dicapai hari ini memperingati erti kesetiaan.

“Tentunya kita semua tidak akan lupa peristiwa yang mana pemimpin keluar parti di Sabah secara besar-besaran dan pemimpin yang kita sanjung dahulu dan diangkat bukan setakat lari daripada perjuangan tetapi ajak ahli utuk lari bersama.

“Jadi apabila bercakap soal kesetiaan dan apabila saya datang ke Sabah dan bercakap soal kesetiaan inilah mereka yang ada di depan ini benar-benar setia,” katanya.

Katanya lagi PRN Melaka memperlihatkan bahawa jika kena strateginya rakyat sedia memberikan sokongan.

“PRN Melaka menunjukkan bahawa kalau betul strategi kita, pendekatan kita akan ada pulangannya. Rakyat sedia untuk memberi sokongan kepada UMNO dan BN…sudah ada petanda tetapi belum selesai…belum ‘complete’ lagi,” ujarnya.

Ujar beliau lagi banyak lagi cabaran-cabaran yang perlu diuruskan sebaiknya oleh parti khususnya cabaran semasa dan mendatang.

“Masih banyak perkara serta cabaran-cabaran tertentu  yang mana kita perlu uruskan dan perlu kita tangani dengan sebaiknya,” tambahnya.

Sementara itu dalam program yang sama, Raime dalam ucapannya berkata, ahli-ahli parti perlu sentiasa berwaspada dengan cabaran semasa dan yang akan mendatang.

Katanya akar umbi dan pelbagai lapisan peringkat parti perlu sama-sama melihat apa kelemahan dan kekuatan yang ada hari ini untuk pelaksanaan strategi seterusnya.

“Menjelang mesyuarat nanti, kita sama-sama fikir apa kelemahan…fikir untuk sama perbaiki balik…kita fikir strategi politik.

“Dulu banyak musuh politik nyata…sekarang ini ada yang tidak nyata… Dalam konteks kita di Tenom, bagaimana kita boleh olah strategi kita apabila perang bermula dalam usaha ambil balik kerusi di Tenom nanti,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.