Sesi Townhall Bersama Usahawan Belia Cari Penyelesaian Kesan Pandemik
KOTA KINABALU, 4 Dis – Program Sesi Townhall Usahawan Belia Negeri Sabah dilihat membuka ruang kepada usahawan belia yang terjejas ekoran pandemik COVID-19 yang melanda negara.
Rata-rata peserta yang hadir pada program berkenaan dapat bercambah pandangan antara satu dengan lain khususnya agensi Tekun yang turut hadir sebagai salah satu agensi pemudah cara kepada usahawan yang terlibat.
Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Shahril Hamdan dalam ucapannya antara lain melihat pandemik telah memberi pukulan hebat kepada sektor ekonomi termasuklah kalangan orang muda.
“Kalau dilihat segala perancangan pemacu kepada kebangkitan ekonomi bukanlah ucapan…dokumen tebal…dan sebagainya…tetapi bagaimana kita nak kurangkan pengangguran…bagaimana kita mahu memacu mikro kecil sederhana dan sebagainya.
“Alhamdulillah…sesi Townhall ini pertama saya buat di Sabah untuk kita cuba realisasikan perkara yang dah ada dalam dokumen…insya-Allah,” kata Shahril yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Beliau berkata demikian pada Sesi Townhall Usahawan Belia Negeri Sabah Bersama Pembantu Menteri Belia & Sukan Sabah dan Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, di sini malam tadi.
Sementara itu, Pembantu Menteri Belia & Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Hj Bandy menyifatkan program berkenaan cukup baik dalam membantu para usahawan yang terjejas untuk bergerak dalam era pandemik COVID-19 hari ini.
“Kita akan sentiasa terbuka menerima sebarang cadangan untuk mantapkan lagi belia Sabah ini. Ada beberapa skim yang bakal dilancarkan dan akan diteruskan beberapa program lain sepertimana di dalam Bajet Sabah 2022. Tinggal lagi bagaimana peluang seumpama ini untuk diambil oleh para belia Sabah,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Sabah Ir Abdul Aziz Julkarnain turut menyatakan perkara yang sama dan berharap ianya diteruskan sebaiknya dalam usaha membantu kalangan usahawan dan sebagainya lagi dalam mendepani cabaran ekoran wabak COVID-19 yang melanda negara.
“Pandemik menunjukkan ekonomi negeri goyah… Justeru perlu ada kerjasama dengan pemain industri bersama agensi kerajaan dan sebagainya.
“Dan sesi Townhall ini membedah permasalahan selepas pandemik COVID-19. Masing-masing berkongsi pendapat serta ilmu. Gunakan dan manfaatkan peluang sebaiknya,” jelasnya. – UMNO Online
Oleh: Azman Abas