Hubungan Erat Sarawak, Persekutuan Cermin Konsep Keluarga Malaysia – Abang Johari

MUKAH 4 Dis – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menyifatkan pembangunan rancak di Sarawak ketika ini, benar-benar mencerminkan keakraban hubungan di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Ibarat berada di bawah satu bumbung atau ‘atap’ rumah, Abang Johari berkata gandingan dan perpaduan erat tersebut membawa pembangunan yang dikehendaki oleh masyarakat majmuk, termasuk di Bumi Kenyalang selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.

“Tidak kira latar belakang budaya dan kepercayaan agama, kita tetap di bawah satu bumbung, di mana perhubungan kita seerat-eratnya seperti sebuah Keluarga Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Lapangan Terbang Baharu Mukah di sini hari ini.

Lapangan terbang bernilai RM450 juta itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam majlis yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Abang Johari turut menzahirkan penghargaan kepada Ismail Sabri, yang disifatkannya banyak membawa pembangunan infrastruktur kepada Sarawak ketika menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebelum ini.

Abang Johari turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan kerana bersetuju membina Lapangan Terbang Baharu Mukah, yang mampu merancakkan lagi pembangunan sosioekonomi penduduk di Mukah dan sekitarnya.

“Sarawak cuba membuka kawasan lain, sebab itu ada cadangan naik taraf lapangan terbang di Lawas dan lapangan terbang kecil di Betong dan Kapit, untuk menghasilkan produk-produk dan hasil pertanian, selain pelancongan di kawasan tersebut,” katanya.

Berhubung dengan Mukah, beliau berkata kerajaan negeri telah merangka pelan utama untuk mengembangkan sosioekonomi penduduk di kawasan itu, berteraskan kepada sektor pendidikan, pelancongan serta makanan.

Perancangan itu katanya, disokong dengan kedudukan Mukah yang strategik di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

Lapangan Terbang Baharu Mukah bernilai RM450 juta telah dibuka pada 17 Jun 2021 bagi menggantikan lapangan terbang kecil yang hanya dikhaskan untuk operasi pelepasan dan pendaratan pendek (STOLport).

Projek pembinaan lapangan terbang di lokasi baharu kira-kira tujuh kilometer dari pusat bandar Mukah, bermula pada 11 Ogos 2017 dengan kapasiti 265,000 ribu penumpang setahun. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.