Sidang Khas DUN Johor Dijangka Minggu Pertama Januari 2022

JOHOR BAHRU, 3 Dis – Satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bagi menurunkan had umur calon Ahli Dewan Undangan Negeri dari 21 tahun kepada 18 tahun, dijangka diadakan pada minggu pertama bulan depan.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata sidang khas berkenaan selaras dengan pindaan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 [Akta A1603].

“Selain daripada bersetuju meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor, kita juga menerima hakikat bahawa dengan kemasukan automatik pengundi 18 ini, maka jumlah pengundi akan bertambah dan kita kena kaji impak penambahan ini kepada kawasan yang ramai pengundi.

DUN Johor telah bersetuju, satu jawatankuasa akan dibentuk yang dianggotai wakil semua parti supaya dapat berbincang bagi merangka atau membangun cadangan iaitu wakil rakyat yang mempunyai pengundi ramai ini kena ada peruntukan tambahan atau bagaimana,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Johor Pay dan Sistem Pemantauan Projek Negeri, di sini semalam.

Ini termasuk mengkaji keperluan dan kebarangkalian persempadanan semula bagi memastikan perkhidmatan wakil rakyat tidak terjejas, katanya.

Hasni berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendekatan kerajaan negeri setelah pendaftaran secara automatik pengundi berusia 18 tahun ke atas diwartakan bermula semalam dan berkuat kuasa pada 15 Dis ini.

Pada 24 Nov lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-137 bahawa semua Menteri Besar dan Ketua Menteri bersetuju meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun menjadi calon pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil.

Sementara itu, mengenai kesan varian baru COVID-19 iaitu Omicron terhadap Laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura, Hasni berkata kedua-dua kerajaan sedang meneliti dan mengikuti perkembangan varian itu secara dekat.

Buat masa ini, katanya prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada akan diteruskan.

“Setakat ini, tidak ada gambaran bahawa VTL darat akan ditutup semula atau sebagainya tetapi (mungkin) SOP lebih sesuai akan diperkenalkan tetapi setakat ini (VTL) berjalan seperti biasa dan lancar,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.