Kerajaan Negeri Selangor Tidak Boleh Terlalu Ghairah Berbelanja, Utamakan Urus Aset – Rizam


KUALA LUMPUR, 30 Nov – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Rizam Ismail menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak boleh terlalu ghairah dalam berbelanja kepada sesuatu yang belum pasti untung ruginya.

Sebaliknya tegas beliau, ia harus melihat kepada spektrum yang lebih besar dengan mengurus selia aset sedia ada untuk dijadikan nilai tambah kepada hasil Kerajaan Negeri.

“Saya menitik beratkan tentang kepentingan mengurus dan menjaga aset-aset yang sedia ada” katanya.

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar menekankan berkaitan masalah pengurusan yang berlaku di peringkat Kerajaan Negeri.

“Banyak perkara yang telah saya sentuh pada hari ini berkenaan Belanjawan Selangor 2022, tetapi apa yang jelas kelihatan ialah masalah pengurusan di peringkat Kerajaan Negeri.

“Kita tak nak kerajaan Negeri saban tahun hanya ghairah menyebut angka berbilion-bilion tapi pada hakikatnya rakyat melihat perkara yang dirancang ini masih belum terlaksana.”

Sehubungan itu, beliau berharap agar ucapannya menerusi perbahasan belanjawan Negeri Selangor 2022 dalam Persidangan Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-14 semalam akan dapat mengubah keadaan .

“Saya berharap, sedikit sebanyak ucapan perbahasan saya pada hari ini membuka mata kepada Kerajaan Negeri untuk terus mengurus dan mentadbir Selangor dengan penuh amanah.

“Yang bagus, kami sokong, yang jelek, kami tentang,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.