Shahril Hamdan Turun Lapangan Kumpul Dapatan Demi Bantu Koordinasi Stabilkan Harga

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Rentetan daripada keluhannorang ramai berkaitan kenaikan harga barang, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan turun padang pagi tadi bersama pasukan penguatkuasa KPDNHEP WPKL di Pasar Keramat.

Tindakan tersebut dilaksana bagi memantau harga barang makanan seperti ayam, telur, dan sayur-sayuran.

Katanya, tidak boleh dinafikan, harga barang ada kenaikan walaupun tak sekata, terutamanya apabila kos yang ditanggung oleh peruncit sendiri naik.

“Insya-Allah dapatan-dapatan di lapangan akan membantu koordinasi pelbagai agensi untuk berusaha menstabilkan harga,” katanya menerusi kenyataan dalam lsman facebooknya, hari ini.

Ujar beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, walaupun mengambil maklum kenaikan harga komoditi di pasaran antarabangsa di luar kawalan dalaman, faktor pencatutan dalam rantaian nilai selain peladang atau petani dan peruncit juga tidak boleh ditolak.

“Difahamkan KPDNHEP, MAFI dan agensi-agensi berkaitan akan melipatganda tindakan ke arah cadangan intervensi untuk dipertimbangkan pihak kerajaan.

“Saya difahamkan aktiviti penguatkuasaan akan terus diperhebat di seluruh saluran rangkaian makanan, dari peladang, pengedar, sehinggalah peruncit.

“Terima kasih kepada Tuan Ariffin Samsudin Pengarah KPDNHEP WPKL dan pasukan penguatkuasa atas peluang untuk menyertai aktiviti penguatkusaan KPDNHEP WPKL,” katanya lagi. – UMNO Online