Mohamad Gesa Kerajaan Tangani Segera Isu Peningkatan Harga Makanan

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Kerajaan mesti segera menangani isu peningkatan harga makanan dengan pemantauan harga mesti dilaksanakan dengan agresif.

Tegas beliau jangan biarkan apa jua bentuk memanipulasi harga pasaran berlaku selain memperkasakan sistem maklumat pasaran untuk makanan dan bangunkan kesedaran pengguna untuk memantau harga pasaran.

“Rakyat terus terbeban dengan harga sayur yang naik mendadak melebihi dua kali ganda. Kenaikan ini menyusul selepas kenaikan harga ayam dan telur yang secara keseluruhannya memaparkan kos sara hidup yang semakin meningkat saban tahun.

“Saya faham bahawa fenomena kenaikan harga adalah norma pasaran dan dipengaruhi oleh lebihan permintaan atau penawaran, faktor cuaca serta kos pengangkutan. Namun, kenaikan keterlaluan amat membebankan rakyat, terutamanya yang terhimpit akibat kehilangan mata pencarian,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Katanya lagi Malaysia nampaknya mula mengalami masalah ketidakjaminan makanan apabila isi rumah berpendapatan rendah terdedah kepada kehilangan akses untuk sumber makanan yang mencukupi dan berkhasiat pada harga yang berpatutan.

Semua ini tambahnya lagi amat membimbangkan kerana 25% daripada kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kurang berat badan atau tumbesaran terbantut disebabkan tabiat pemakanan yang kurang sihat.

“Ini akan menjejaskan potensi pembelajaran serta produktiviti tenaga kerja masa depan. Jika dibiarkan, ia akan mengukuhkan kitaran kemiskinan dan ketidaksamaan antara generasi. Sekali lagi saya sarankan pengenalan kupon atau ‘voucher’ makanan bagi membolehkan akses kepada makanan berkhasiat bagi keluarga yang paling terkesan.

“Kapasiti pengeluaran makanan negara mesti setanding dengan negara pertanian serantau di ASEAN. Kini, pengeluaran sumber makanan negara masih bergerak pada kadar perlahan disebabkan penggunaan teknologi rendah, cabaran kawalan penyakit, perubahan cuaca, dan kerugian lepas-tuai yang tinggi.

“Inovasi dan penyelidikan serta pembangunan (R&D) untuk membina ketahanan terhadap faktor cuaca yang tidak menentu serta perubahan pasaran adalah pelaburan penting bagi memastikan sekuriti makanan negara akan lebih lestari dan terjamin.

“Kita perlu membangunkan semula sektor agro-makanan yang telah lama dipinggirkan disebabkan penekanan kepada sektor perindustrian mulai tahun 1980an,” ujarnya.- UMNO Online

 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.