Belanjawan 2022 Selangor Tertinggi Dalam Tempoh Tiga Tahun, Defisit Sama Seperti Tahun Lepas – Rizam

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Rizam Ismail menyambut baik belanjawan negeri berkenaan yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari Jumaat petang.

Bagi beliau belanjawan 2022 Negeri Selangor itu merupakan belanjawan defisit sama sepertimana tahun lepas serta merupakan belanjawan tertinggi dalam tempoh tiga tahun.

“Saya menyambut baik belanjawan yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan ini yang merupakan belanjawan tertinggi dalam tempoh tiga tahun. Ini juga merupakan belanjawan defisit sama seperti tahun lepas,” katanya dalam kenyataan ringkas kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM2.343 bilion bagi perbelanjaan tahun 2022.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM1.220 bilion (52 peratus) diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus manakala RM1.123 bilion (48 peratus) akan digunakan untuk Perbelanjaan Pembangunan.

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar seterusnya menambah, kerajaan negeri juga dilihat berani berbelanja untuk rakyat Selangor di waktu krisis ekonomi dan kesihatan yang belum selesai ini.

Walaubagaimanapun tambah beliau lagi, sekiranya kerajaan negeri hanya pandai berbelanja tetapi tidak cekap mengurus ia hanya akan menjadi bajet yang cantik di atas kertas tetapi akhirnya tidak dapat dilaksanakan seperti mana dirancang.

“Saya ambik contoh walaupun banyak pembangunan di Sabak Bernam, tetapi perlu diingat masih ada projek yang terbengkalai dan aset-aset kerajaan yang tidak diurus dengan baik. Apa pun saya tidak mahu mengulas panjang hari ini, tunggu ucapan perbahasan saya pada Isnin ini,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.