Barisan Exco Baharu Melaka Sifatkan Lantikan Amanah Besar Untuk Negeri, Rakyat

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengangkat sumpah pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Melaka melahirkan rasa syukur dan beriltizam untuk memikul amanah berkenaan sebaik mungkin.

ADUN Tanjung Bidara yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh melahirkan rasa syukur atas perlantikan tersebut dan berazam untuk sama-sama membantu pentadbiran kerajaan negeri demi rakyat dan Melaka.

“Syukur Alhamdulillah. Pada petang yang bersejarah ini saya dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Negeri Melaka dalam majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Istiadat, Seri Negeri, Ayer Keroh,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Sementara itu, ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman di platform media sosial yang sama turut menyifatkan perlantikan tersebut satu kepercayaan yang diberikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk bersama-sama dalam pentadbiran negeri.

Malah kata beliau yang dilantik Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani melihat ianya adalah satu tanggungjawab yang besar untuk sama-sama membangunkan negeri dan seluruh rakyat.

“Terima kasih saya ucapkan kepada TYT Tun Seri Setia Haji Mohd Ali Mohd Rustam atas perkenan lantikan saya sebagai Exco Jawatankuasa Negeri Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Datuk Seri Sulaiman Md Ali atas kepercayaan yang diberikan. Buat seluruh penduduk negeri Melaka, Insya-Allah amanah yang dipertanggungjawabkan ini akan dipikul dengan sebaik-baiknya bagi memajukan lagi negeri ini dan penduduk di dalamnya,” katanya.

Sementara itu ADUN Merlimau Dr Muhamad Akmal Saleh turut melahirkan rasa syukur dan bersedia untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan.

“Dari menjadi doktor orang kampung, kini dipertanggungjawabkan menjadi doktor kepada seluruh rakyat melaka. Tanggungjawab yang berat tetapi insya-Allah saya akan berikan seluruh jiwa raga saya untuk menggalas tanggungjawab ini sehabis baik. Bantu dan doakan saya, Demi Melaka ku serahkan jiwa dan ragaku,” ujarnya.

Hari ini, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengumumkan sebelas portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka.

Portfolio itu didahului dengan Sulaiman yang memegang portfolio Perancangan Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Hal Ehwal Agama.

Selain itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memegang portfolio Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan.

Diikuti tujuh lagi muka baharu yang memegang jawatan Exco di negeri ini serta dua muka lama iaitu Datuk Rahmad Mariman dan Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Antara muka baharu yang ditampilkan ialah Datuk Zaidi Attan yang akan memegang portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar; Datuk Rais Yasin (Pendidikan dan Teknologi); Dr Muhamad Akmal Saleh (Kesihatan dan Antidadah) serta Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Industri Asas Tani).

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin pula dilantik Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan; Ngwe Hee Sem (Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna) serta V P Shanmugam (Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Dalam pada itu Sulaiman berkata, beliau yakin kesemua barisan Exco yang dilantik mampu untuk menggalas tugas yang diamanahkan.

“Sudah tentu mereka yang dilantik mampu menggalas tanggungjawab dan menggerakkan usaha merealisasikan akur janji dan Manifesto Barisan Nasional (BN) ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ yang diumumkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 Nov lalu,” katanya di dalam sidang media pengumuman pelantikan Exco Kerajaan Negeri Melaka di Seri Negeri, di sini, Jumaat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.