Wanita BN Buktikan Kemampuan, Pembawa Obor Parti Di Melaka

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Kepercayaan pucuk pimpinan UMNO terhadap calon-calon daripada wanita pada Pilihan Raya negeri (PRN) Melaka baru-baru ini membuktikan keupayaan masing-masing sebagai pembawa obor dan barisan hadapan parti.

Justeru Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berpandangan perkembangan pada PRN tersebut diharap dapat dijadikan sandaran oleh pucuk pimpinan parti untuk meletakkan 30 peratus wakil wanita sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

“Keyakinan pucuk pimpinan kepada Wanita Barisan Nasional (BN) pada PRN kali ini telah terbukti dengan empat daripada lima calon parti berkenaan berjaya memenangi dalam persaingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka baru-baru ini.

“Sebagai contoh Yang Berhormat (YB) Datuk Kalsom (Kalsom Noordin), kita merampas kerusi yang sebelum ini disandang Datuk Norhizam Hassan Baktee atau terkenal dengan jolokan ‘YB Viral’ yang bertanding atas tiket Bebas bagi PRN kali ini nyata memberikan mesej yang jelas bahawa wanita mampu memenangi hati rakyat.

“YB Datuk Khaidirah (Khaidirah Abu Zahar) menawan DUN Rim dengan majoriti 1,874 undi, YB Siti Faizah Abdul Azis pula membawa majoriti 1,137 undi di Sungai Rambai dan YB Tuminah Kadi memenangi DUN Pantai Kundor, membawa majoriti dengan 827 undi,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Justeru tambahnya lagi, Wanita UMNO menyeru kepada pucuk pimpinan agar keputusan PRN Melaka dijadikan sandaran dan langkah untuk meletakkan 30% wakil wanita sebagai calon pilihanraya umum ke 15 dalam usaha membantu parti mencapai kemenangan nanti. – UMNO ONLINE

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.