Exco Melaka: Tahniah Kepada Yang Dilantik, Semoga Dapat Beri Khidmat Terbaik – Norliza

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin sebagai Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Melaka membuktikan sumbangan dan pengalaman Wanita dihargai pucuk pimpinan tertinggi, kata Naib Ketua Wanita UMNO Datuk Norliza Abdul Rahim.

Norliza juga mengucapkan tahniah kepada Ketua Wanita UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya itu yang telah menunjukkan kegigihan yang luar biasa ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu.

“Semangat juang yang jelas, bertenaga dan menampilkan keberanian serta sumbangan Wanita bagi memastikan masyarakat di seluruh negeri Melaka mendapat perkhidmatan terbaik.

“Datuk Kalsom adalah ikonik yang boleh ditampilkan sebagai orang politik yang sangat setia selepas berkecimpung lebih 30 tahun lalu selain generasi kepimpinan Wanita yang muda, segar dengan idea dan pembaharuan,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Seterusnya, Norliza juga mengucapkan tahniah kepada semua yang dilantik seperti Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga ADUN Tanjung Bidara mengetuai portfolio Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri.

“ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan (Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar); ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani); ADUN Gadek, VP Shanmugam (Exco Belia, Sukan dan NGO); ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin (Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan);

“ADUN Merlimau, Dr Akmal Saleh (Exco Kesihatan dan Antidadah); ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin (Exco Pendidikan dan Teknologi) dan ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem (Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna) serta ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman dilantik sebagai Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir dan ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis menerajui portfolio Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan,” ujar Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang itu lagi.

Tidak ketinggalan juga Norliza mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang mengetuai portfolio Perancang Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Hal Ehwal Agama.

Justeru, Norliza berharap semoga penyampaian khidmatan kerajaan berteraskan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ diterjemahkan secara tuntas demi pembangunan ekonomi negeri, kesejahteraan kesihatan awam negeri serta kebaikan rakyat Melaka secara keseluruhannya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.