Pembangunan Zaman BN Bukan Sekadar Sedap Mata Memandang, Tapi Ada Impak Nilai Tinggi

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata pembangunan ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) bukan sekadar sedap mata memandang tetapi mempunyai impak nilai tinggi kepada sektor perniagaan, masyarakat serta mewujudkan peluang pekerjaan.

Mengambil contoh pembinaan Menara Merdeka 118, Ahli Parlimen Pekan itu berkata ia bakal memanfaatkan penyimpan Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan akaun-akaun amanah yang dikendalikan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

“Projek ini bakal memberi impak ekonomi sebanyak RM11 bilion.

“Seperti yang saya sebutkan, akhirnya nanti projek ini akan memberi manfaat kepada kroni PNB iaitu penyimpan di ASN dan ASB. Saya ingin ucapkan tahniah kepada PNB yang berjaya melaksanakan satu projek yang memberi impak ekonomi kepada negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulasnya juga, semalam beliau ada menyebut mengenai keupayaan PNB dalam pembangunan bercampur di mana menyarankan PNB bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengambil alih projek Bandar Malaysia kerana mereka telah terbukti memajukan projek Battersea di London.

“Kebetulan beberapa hari lalu, saya melalui kawasan pembangunan Menara Merdeka 118.

“Di negara ini, antara mercu tanda yang bakal menjadi kebanggaan kita selain bakal menawarkan lebih 10,000 pekerjaan ialah Menara Merdeka 118 yang dibangunkan PNB.

“Pada Mac 2016, saya menamakan projek Warisan Merdeka ini kepada Menara Merdeka118 dan hari ini kita sudah melihat struktur bangunan ini sudah menghiasi bandaraya Kuala Lumpur. Bangunan kedua tertinggi dalam dunia ketika ini,” kata Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu lagi.

Najib turut berbangga kerana pembangunan Menara Merdeka 118 ini dibangunkan bersebelahan Stadium Merdeka dan Stadium di mana kedua-duanya akan dikekalkan dan dipelihara.

“Kita mesti tak lupa sejarah Stadium Merdeka yang amat signifikan kepada kita semua di mana di sinilah pengisytiharan Merdeka dibuat pada 31 Ogos 1957 serta pengisytiharan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

“Pembangunannya juga terperinci kerana ia akan dihubungkan dengan stesen MRT Merdeka, stesen Monorel Maharajalela dan berdekatan dengan jajaran LRT sedia ada,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.