Masih Berbincang? Sepatutnya Mesti Proaktif Kawal Harga Barang Keperluan Asas

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menimbulkan persoalan adakah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) masih berbincang bagi membendung kenaikan harga barangan keperluan rakyat pasca pandemik dan menjelang musim hujan ini.

Dr Asyraf memberi reaksi demikian mengenai sebuah laporan berita mengenai perbincangan KPDNHEP bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengenai isu kenaikan harga barang serta akan memaklumkan langkah-langkah membendungnya dalam tempoh seminggu dua lagi.


Justeru tegas Dr Asyraf, bukannya baharu hendak berbincang dan membiarkan rakyat menunggu dengan lebih lama lagi sebelum diumumkan langkah-langkah yang direncanakan.

“Tindakan berani dan berkesan seperti menyediakan subsidi untuk mengawal kos dedak-dedak binatang ternakan juga antara yang boleh dilakukan bagi memastikan harga ayam contohnya dapat distabilkan.

“Begitu juga penguatkuasaan Akta Anti-Pencatutan mesti dipertingkatkan oleh pihak berkuasa KPDNHEP supaya tidak timbul sebarang kemungkinan ‘hoarding’ atau pencatutan oleh pihak pengedar atau pemborong untuk mengambil kesempatan di atas kesempitan rakyat ketika ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Malah tambahnya, satu lagi isu yang lebih besar perlu menjadi ‘wake-up call’ kepada kerajaan ialah apa sebenarnya perkembangan dan hala-tuju ‘Dasar Jaminan Makanan Negara’ yang sepatutnya memastikan kebergantungan kepada import makanan berada pada tahap paling minimum dan kos bahan makanan asas rakyat pada tahap yang berpatutan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.