Tambahkan Kolej Komuniti, Masa Kredit Usahawan Di  IPT – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan memberikan beberapa cadangan penambahbaikan berkaitan Bajet 2022 Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam usaha memperkasakan lagi perancangan serta pelaksanaan kementerian tersebut.

Menerusi catatannya di Facebook, beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO menambah antara cadangan tersebut adalah penambahan Kolej Komuniti selain tambahan masa kredit untuk subjek usahawan dalam usaha melahirkan graduan yang berjaya dalam sektir tersebut.

“Hadir Taklimat  Bajet 2022  KPT di bawah menteri Datuk Seri Noraini Ahmad. Saya mencadangkan beberapa perkara antara lain penambahan kepada 222  Kolej Komuniti untuk atasi masalah 60% pelajar lepasan  SPM tidak lanjutkan pelajaran.

“Keduanya tambah masa kredit untuk subjek keusahawanan, wajibkan di universiti-universiti untuk bina bangsa usahawan,” katanya.

Kata beliau lagi keciciran lepasan  SPM sekitar 250 ribu orang setahun merupakan satu perkara serius dan perlu diambil perhatian sewajarnya.

“Hanya 150 ribu yang ke universiti awam Technical and Vocational Education and Training (TVET) daripada 400 ribu yang ambil SPM. Mereka perlu diberi ilmu niaga agar boleh jadi usahawan berjaya.

“Tempat belajarnya di Kolej Komuniti. Maka binalah Kolej itu di 222 kawasan Parlimen. Sekarang ini baru ada 104 Kolej Komuniti di kawasan Parlimen. Harap boleh bina atau sewa 118 lagi untuk 222 kawasan.

“Hanya dua jam kredit yang wajib untuk pelajar universiti ambil subjek Keusahawanan. Tentu ini tidak cukup. Elok tambah lagi agar graduan ada ilmu jadi  bangsa usahawan,” ujarnya. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.