Sulaiman Kembali Terajui Melaka Sebagai Ketua Menteri

MELAKA, 21 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu Datuk Seri Sulaiman Md Ali kembali menerajui negeri Melaka sebagai Ketua Menteri ke-13.

Sulaiman, 55, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka pada Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Dewan Seri Utama di sini awal pagi tadi.

MELAKA 21 Nov–ADUN Lendu Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka awal pagi ini⁣.

Beliau sebelum ini dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 pada 9 Mac tahun lalu menggantikan Adly Zahari yang dilantik Ketua Menteri Melaka ke-11 pada 11 Mei 2018.

Ia berikutan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob ketika itu, mendapat representasi bahawa Adly tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN Melaka sebagai Ketua Menteri Melaka.

Sulaiman, pernah menjadi Timbalan Exco Perancangan Ekonomi, Pelaburan dan Perindustrian Melaka dari 2013 hingga 2018 di bawah pentadbiran Ketua Menteri Melaka ke-10 Datuk Seri Idris Haron ketika itu.

Dilahirkan pada 20 Dis 1965 di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, Alor Gajah, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Durian Daun dan Sekolah Menengah Masjid Tanah sebelum melanjutkan pelajaran di Training Cadet Maritime Academy Melaka (ALAM) dan Professional Master in Management QAC (UK).

Sulaiman mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Munira M. Yusop, 54, pada 16 Nov 1991 dan mempunyai dua anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Beliau dipilih sebagai ADUN Lendu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 pada 2013 selepas menang kerusi itu dengan majoriti 2,503 undi menewaskan calon PAS Asri Shaik Abdul Aziz.

Sulaiman kemudian mempertahankan kerusi DUN itu pada PRU Ke-14 pada 2018 dengan majoriti 627 undi menewaskan Ridhuan Dion Bakar (PKR) dan Arshad Md Som (PAS).

Beliau mempertahankan kerusi DUN Lendu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan majoriti 3,104 undi menewaskan Abdullah Mahadi (Perikatan Nasional) dan Muhammad Asri Ibrahim (Pakatan Harapan).

Pada 4 Okt lepas, empat ADUN iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas), menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman, sekali gus menyebabkan pembubaran DUN Melaka. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit