Sekretariat Khas Ditubuh Pantau Prestasi Wakil Rakyat – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Pemuda BN akan menubuhkan satu Sekretariat Khas untuk memantau prestasi dan pencapaian wakil-wakil rakyat yang dipilih.

Kata Ketua Pemuda UMNO itu lagi, ini bagi memastikan khidmat bakti kepada rakyat bukan suatu omongan kosong tiada makna.

“Yang paling utama jangan sesekali alpa dan leka dengan kemenangan ini hingga menjadikan kita sombong, angkuh dan bongkak.

“Sebaliknya jadikan ini sebagai azimat dan semangat untuk kita bekerja lebih kuat bagi menyantuni aspirasi dan naluri rakyat yang mahukan BN yang benar-benar berubah ke arah lebih berintegriti dan berakhlak luhur.

“Moga-moga Allah menetapkan kita semua pada jalan yang benar dan sentiasa beroleh keredhaan-Nya demi perjuangan membela rakyat dan membangunkan negara,” katanya di dalam satu hantaran di Facebook.

Dr Asyraf juga memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran dan kepujian pada Allah yang telah mengurniakan kepada BN kemenangan yang begitu manis di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Terima kasih kepada semua pengundi-pengundi Melaka yang memberikan kepercayaan kepada BN untuk kembali menerajui Melaka dengan majoriti dua pertiga,” katanya.

Begitu juga Dr Asyraf mengucapkan terima kasih dan penghargaan setulusnya kepada seluruh Jentera BN termasuk daripada parti-parti komponen dari kalangan Wanita, Pemuda, Puteri UMNO, MCA dan MIC dari seluruh pelusuk tanahair yang berkampung selama dua minggu untuk memastikan kemenangan calon-calon BN.

“Sesungguhnya kerja kuat, dedikasi dan penuh bijaksana berjaya menatijahkan kejayaan yang begitu manis sekali,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit