BN Muhasabah Dalam Kemenangan

Kemenangan semalam memberi suatu suntikan semangat kepada BN. Keseronokan yang kita masih rasai pagi ini sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Syabas kepada kepimpinan dan jentera UMNO dan tak kurang juga senyum kita melihat parti komponen yang berjaya menyumbang kepada kemenangan.

Belum sampai beberapa jam setelah keputusan diumumkan, tidak dinafikan pelbagai rumusan dan teori yang mula diutarakan, khususnya tentang apa erti keputusan PRN ini kepada senario politik dan pengundi keseluruhan.

Di peringkat awal ini, saya cuma ingin mengingatkan diri sendiri dan rakan-rakan pendukung parti supaya kita cermat dalam membuat beberapa perkara.

1. Tidak riak atau mendongak dengan kemenangan, terutamanya dalam kenyataan dan tindakan kita di mata rakyat – ini paling penting.

2. Membuat analisa mendalam tentang semua aspek yang berlaku di Melaka di pihak kita, pihak lawan dan pihak pengundi. “Postmortem” bukan hanya penting sewaktu keputusan tidak berpihak kepada kita. Tetapi ia sama penting sewaktu menang, supaya kita tak tersilap membuat kesimpulan meluas.

Jika ada yang dah umum akan kaji punca kalah, tidak rugi kita kaji punca menang. Faktor-faktor penyumbang yang dikenalpasti, kita kaji sama ada ia terpakai di tempat dan masa lain. Sejarah PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar dan PRU14 dijadikan iktibar agar tak berulang. Pendekatan dan naratif yang menjadi, kita teruskan. Yang perlu diperbaiki, kita kemaskan. Tak rugi kita kekal dalam mode “mengejar” berbanding mode selesa.

3. Fokus kepada janji manifesto kita, terutamanya yang telah dihebahkan untuk pelaksanaan 100 hari. Tiada ramuan lebih padu untuk kejayaan berterusan daripada kredibiliti sesebuah parti dimata rakyat.

Mudah-mudahan segala perancangan kita selepas ini membawa kemenangan bukan hanya kepada parti tetapi kemakmuran kepada negara dan rakyatnya.

Syabas dan selamat berkhidmat YAB Ketua Menteri, bakal exco dan rakan-rakan YB

Alhamdulillah.


SHAHRIL HAMDAN
Ketua Penerangan UMNO