Sulaiman Seru Rakyat Keluar Mengundi, Melaka Perlukan Kerajaan Yang Stabil

MASJID TANAH, 20 Nov – Calon Ketua Menteri Melaka yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyeru pengundi yang belum mengundi keluar menunaikan tanggungjawab.

Ini kerana katanya, pilihan raya kali ini adalah Pilihan Raya Umum Ke-15 bagi negeri Melaka untuk menubuhkan sebuah kerajaan dan selepas ini hanya akan diadakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kepada yang belum keluar mengundi, ambillah masa yang terbaik ini untuk keluar mengundi dalam keadaan cuaca yang baik. Dan saya mohon kepada semua pengundi terus datang mengundi kerana ini adalah merupakan Pilihan Raya Umum Negeri Melaka yang ke-15.

“Dan tidak ada lagi pilihan raya umum (negeri) bagi tahun hadapan. Sebab saya bimbang ada yang berkata “takpe tak pergi mengundi kali ini sebab tahun depan ada mengundi lagi”.

“Suka saya mengingatkan semua bahawa inilah satu pilihan raya untuk memilih kerajaan negeri, tidak ada tahun depan. Kalau ada pun (pilihan raya negeri), ia akan berlaku pada tahun 2026,” katanya kepada media selepas ditemui selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan Sungai Durian, di sini awal pagi tadi.

Begitu juga tambahnya, hari ini adalah hari penentuan bagi memilih sebuah kerajaan negeri yang baharu bagi Melaka.

“Hari ini kita datang, mengundi hendak memilih kerajaan. Jadi saya mohon kepada semua pengundi datang keluar mengundi untuk memilih kerajaan.

“Sudah pasti kerajaan yang kita pilih mestilah kerajaan yang stabil, kerajaan yang kukuh dan kerajaan yang boleh menjamin masa depan rakyat.

“Jadi, jalankan tugas dan tanggungjawab sebaik yang mungkin supaya akhirnya kita akan dapat sebuah kerajaan yang stabil, yang ada kemakmurannya, khusus dapat membela rakyat negeri Melaka,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit