Situasi Semasa Proses Pengundian Di DUN Pantai Kundor

MELAKA, 20 Nov – Cuaca yang sedikit redup pada waktu tengah hari membolehkan pengundi di Kampung Gelam, Tanjung Kling di sini mengambil kesempatan untuk keluar membuang undi di Sekolah Kebangsaan Kampong Gelam dekat sini.

Tinjauan UMNO-Online mendapati masing-masing datang dengan kenderaan sendiri dan hanya sekali-sekala kenderaan yang membawa logo parti-parti yang bertanding membawa pengundi masing-masing.

Sementara itu situasi sama dapat dilihat di Sekolah Kebangsaan Tangga Batu di sini, apabila pengundi di kawasan berkenaan keluar membuang undi dengan selesa apabila terus memasuki pusat pengundian tanpa perlu beratur di kawasan tersebut.

Kedua-dua pusat mengundi berkenaan berada di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundur.

Di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini, DUN Pantai Kundur menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Barisan Nasional ((BN) yang diwakili Tuminah Mohd Hasim, Pakatan Harapan (PH) Datuk Norazman Hasan dan Perikatan Nasional (PN) Mohd Ridzwan Mustafa.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan semalam menasihati pengundi supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan sepertimana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

Walaupun begitu, sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8.00 pagi tadi hingga 5.30 petang ini.

Namun demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit