Sejumlah 43 Peratus Keluar Mengundi Setakat 1 Tengah Hari

MELAKA, 20 Nov – Pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini berlangsung dalam keadaan cuaca mendung dan hujan renyai di beberapa kawasan di sebelah pagi, menyaksikan sebanyak 43 peratus keluar mengundi setakat 1 tengah hari.

Mengimbangi antara tuntutan demokrasi dan kesihatan rakyat kerana pandemik COVID-19 yang masih wujud, proses mengundi juga dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang digariskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengelak jangkitan.

Pengundi yang patuh dengan garis panduan SPR dilihat mula berbaris seawal 7.30 pagi bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing sambil sabar menanti pusat pengundian dibuka pada 8 pagi.

Setakat ini tiada pelanggaran SOP dilaporkan.

Bagi membendung penularan COVID-19 dan menjamin keselamatan pengundi dan petugas pilihan raya, dewan atau sekolah yang digunakan sebagai pusat mengundi turut disanitasi dengan kekerapan sejam sekali, namun kekerapan itu berubah bergantung kepada jumlah kehadiran pengundi pada satu-satu masa.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh turut turun padang meninjau perjalanan proses pengundian di beberapa lokasi di negeri ini bagi memastikan ia berjalan lancar.

Selain itu, calon-calon yang bertanding juga mengambil peluang menunaikan tanggungjawab masing-masing di sebelah pagi.

Antaranya adalah calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin; calon Pakatan Harapan (PH) DUN Bukit Katil Adly Zahari, Ketua Menteri yang juga calon BN bagi kerusi Lendu Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sementara itu, Sulaiman ketika ditemui berkata nombor tiga mungkin menjadi angka keramat baginya memandangkan beliau merupakan calon nombor tiga dan hari ini mengundi di saluran tiga serta kelas tempat pengundiannya adalah kelas semasa beliau berada di darjah tiga.

Proses pengundian PRN Melaka bermula 8 pagi ini dengan 217 pusat pengundian dibuka membabitkan 1,109 saluran bagi membolehkan rakyat Melaka memilih kerajaan baharu.

Pengundian membabitkan 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi, dikendalikan seramai 12,290 petugas pilihan raya di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga waktu mengundi tamat pada 5.30 petang.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas, susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit