Sedikit Sesak… Anggota Keselamatan, Petugas SPR Bantu Licinkan Proses

KELEBANG, 20 Nov – Pengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Bukit Rambai, di sini turut mengambil peluang untuk membuang undi bagi memilih wakil rakyat mereka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang.

Berdasarkan tinjauan UMNO Online, lokasi pusat mengundi itu yang berada di tepi jalan utama menuju ke Klebang menyebabkan berlaku sedikit kesesakan lalulintas.

Ini berikutan pengundi terpaksa beratur berhampiran tepi jalan utama bagi menunggu giliran untuk mengundi.

Namun pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berada di lokasi membantu melicinkan pergerakan lalu lintas dan mengawal kenderaan yang melaluinya.

Begitu juga bagi kelicinan proses pengundian, dilihat para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membantu pengundi dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) pengundian yang telah ditetapkan.

Dalam masa yang sama, calon Barisan Nasional (BN) di DUN Klebang, Datuk Lim Ban Hong turut kelihatan meninjau kawasan pusat mengundi berkenaan sambil menyantuni mereka yang kebetulan berada di sekolah berkenaan. – UMNO ONLINE

Oleh: Azman Abas

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit