PRN Melaka Tampilkan Keunikan Gerak Kerja, Beza Dari Kelaziman – Shahril

MELAKA, 20 Nov – Dengan menyedari prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, pasukan Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS) fokus kepada usaha-usaha produk dan saluran digital selain beberapa kempen fizikal yang berbeza dari kelaziman.

Kata Ketuanya Shahril Hamdan, dari video harian menjawab isu yang berbangkit, sketsa, ceramah mobil, video rayuan calon, trak LED bergerak, infografik pelbagai, banyak inisiatif yang dibuat dan dicuba pertama kali.

“Semuanya mustahil tanpa kerjasama seluruh pasukan Penerangan dengan penyelarasan BN Comms di bawah Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang menjadi Pengerusi portfolio komunikasi untuk pilihan raya.

“Dalam kalangan pasukan PUMAS, ramai yang bergerak di belakang tabir, menyusun atur dan mengkoordinasi segala macam produk yang menjadi bahan kempen,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Justeru, Shahril merakam penghargaan tidak terhingga kepada seluruh pasukan yang telah bersama menjayakan usaha unik ini.

“Penjawat Penerangan di peringkat negeri dan bahagian, mahupun sukarelawan mahasiswa dan siber, sehinggalah staf Penerangan di belakang tabir tetapi sebenarnya menjadi tulang belakang jabatan ini.

“Jutaan terima kasih atas usaha dan pengorbanan anda,” katanya lagi.

Tambah Shahril juga, kepada semua calon dan jentera semuanya telah berusaha sebaik mampu dengan iringan doa seluruh pendukung parti.

“Terima kasih kerana memberi ruang kepada kami dari PUMAS bersama membantu dari sebelum penamaan calon sehingga kini, sama ada melalui program fizikal ataupun inisiatif digital.

“Apa sahaja keputusan nanti, memori yang diukir menjadi suntikan semangat dan pengalaman berharga buat kami semua dalam persiapan ke Pilihan Raya Umum (PRU) kelak,” ujarnya.

Manakala buat rakyat Melaka pula katanya, pihaknya merayu agar dikurniakan kemenangan padu kepada Barisan Nasional (BN) di PRN Melaka ini untuk melaksana manifesto dan janji untuk membawa Kestabilan Demi Kemakmuran. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.