Peratusan Keluar Masih Rendah, Zahida Seru Rakyat Keluar Mengundi

MELAKA, 20 Nov – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan meluahkan perasaan risaunya apabila mendapat laporan peratus keluar mengundi di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) masih rendah.

“Agak mendebarkan bila peratusan keluar mengundi masih rendah setakat jam 12 (tengah hari) tadi.

“Mohon ramai-ramai keluar mengundi untuk elak kesesakan dan kekangan cuaca ya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sehingga jam 1 tengah hari tadi, jumlah peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 43 peratus.

Hari ini merupakan hari pengundian bagi PRN Melaka setelah berkempen selama dua belas hari sejak 8 Nov lalu.

Seramai 476,037 orang pengundi biasa bakal mengundi bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang di 217 pusat mengundi dan 1,109 saluran.

Manakala Selasa lalu, sejumlah 89.90% daripada 11,557 orang pengundi atau 10,390 orang pengundi yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis telah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal.

Seterusnya ulas Zahida, beliau turut memantau pusat-pusat mengundi di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim.

Begitu juga Zahida berharap agar kemenangan berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Khaidhirah Abu Zahar, yang lebih dikenali dengan panggilan Dira.

“Semoga kemenangan milik calon kita Dira Abu Zahar di N25 Rim.

“Mohon yang jauh turut mendoakan beliau,” serunya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.