Pengundian Berjalan Lancar Dengan SOP Yang Ketat

BUKIT KATIL, 20 Nov – Suasana hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilihat tenang dan teratur.

Tinjauan UMNO-Online di Sekolah Kebangsaan Datuk Demang Hussin, di sini mendapati pengundi sudah bersedia untuk menjalankan tanggungjawab dan beratur sebaik saja pusat pengundian dibuka.

Walaupun awal pagi tadi hujan renyai, jelas ia tidak mematahkan semangat pengundi untuk beratur panjang berhampiran tepi jalan utama untuk menunggu giliran ke tempat pengundian.

Kelihatan juga, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM bertungkus lumus memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi oleh semua pihak dalam mengekang penularan COVID-19 semasa proses mengundi dijalankan.

Dilaporkan, Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, hasil pemantauan pasukannya mendapati semua pihak termasuk calon, jentera parti politik dan pengundi mematuhi SOP.

Begitu juga katanya, perjalanan proses pengundian di 217 pusat mengundi sejak pukul 8 pagi tadi berjalan lancar tanpa sebarang provokasi atau kemunculan barong panas. – UMNO ONLINE

Oleh: Amin Adnan

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit