Pengundi Diseru Laksanakan Kewajipan Hari Ini – Dr Akmal

JASIN, 20 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau Dr Muhamad Akmal Saleh berharap pengundi dapat menunaikan tanggungjawab sebaiknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa proses pembuangan undi ini tidak memakan masa yang lama, malah pengundi diseru untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) antaranya seperti memakai pelitup muka.

“Saya hendak mohon juga kepada semua pengundi bahawa jangan risau proses hanya mengambil masa tidak lebih 30 minit.

“Jadi penting datang mengundi terus balik, pakai pelitup muka bawa cecair sanitasi.

“Ini adalah proses pengundian yang paling mengikuti prosedur operasi standard,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Dr Akmal selesai mengundi pada jam 8.35 pagi tadi di Sekolah Kebangsaan Merlimau, di sini.

Pusat pengundian tersebut mencatatkan jumlah keseluruhan pengundi sebanyak 2,737 dan bilangan saluran adalah enam.

Pengundi juga dilihat sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang juga turut diawasi oleh Polis Diraja Malaysia. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit